PETALING JAYA: Pelakon, Fasha Sanda dilaporkan mengalami kecederaan serius selepas mata dan kepalanya terhentak di bucu katil semasa menjalani penggambaran drama Anak Tuan, semalam.
Akibat hentakan itu, tulang mata bahagian kiri dramatis itu patah dan bebola mata kirinya berdarah serta bengkak sebelum dikejarkan ke Hospital Pakar di Johor Bahru.
Menerusi keterangan di Instagram, difahamkan isteri kepada pelakon Aidil Aziz itu akan dipindahkan ke Hospital Pakar di Kuala Lumpur dalam masa terdekat.
“Mohon jasa baik peminat dan keluarga untuk mendoakan kesihatan kakak (Fasha). Insya-Allah, Fasha akan dipindahkan ke hospital lain petang ini atau esok pagi.
“Seperti yang ramai tahu kakak adalah seorang yang kuat semangat dan komited dalam kerjayanya. Saya yakin kakak kuat,” tulis keterangan yang dipercayai dimuat naik oleh pengurusnya.
Fasha turut menjelaskan tiada mana-mana pihak perlu dipersalahkan berhubung kemalangan itu kerana berlaku di luar kawalan manusia.
Dalam masa sama, katanya, pihak produksi juga sudah membuat permohonan maaf pada Fasha dan keluarganya.
“Tiada sesiapa yang harus dipersalahkan kerana kemalangan ini berlaku di luar jangkaan kita.
“Inshya-Allah saya akan kemas kini lagi perkembangan dari semasa ke semasa. Terima kasih,” jelasnya. – UTUSAN