PETALING JAYA: “Rindunya pada mereka Ya Allah. Sampaikan pada mereka Ya Allah kerana aku tidak mampu.”
Demikian luahan perasaan, pelakon dan pengarah, Farid Kamil terhadap isteri, Diana Danielle dan dua anaknya, Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8, menerusi perkongsian di Instagram.
Menerusi perkongsian tersebut, Farid memuat naik beberapa keping gambar mereka sekeluarga yang kelihatan bahagia ketika menunaikan ibadah umrah, akhir bulan lalu.
Perkongsian yang mengundang kesedihan itu turut mendapat respon daripada pengacara dan usahawan, Roslan Shah yang mendoakan terbaik untuk pasangan itu.
“Inshaa Allah, Cik Lan doakan yang terbaik ya. Farid Kamil, Cik Lan faham perasaan awak dari Mekah lagi. Sayang kamu dan anak-anak, Amin,” tulisnya.
Seorang pengguna lain berkata, dia terlihat Farid sekeluarga dalam keadaan penuh gembira semasa menunaikan umrah, bulan lalu.
“Bulan Februari dulu, jumpa mereka sekeluarga dekat Mekah tengah buat tawaf naik skuter.
“Nampak mereka gembira sekeluarga. Semoga yang baik-baik sahaja buat mereka. Amin,” katanya.
Difahamkan, hampir sebulan Farid dihalang daripada bertemu dua anaknya dan memasuki rumah yang dibayar sewa oleh isterinya selama ini.
Minggu lalu, Diana memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya atas alasan tiada persefahaman dan berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan) di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari, Shah Alam.