KUALA TERENGGANU : Tindakan seorang Exco kerajaan Terengganu yang dikatakan memperlekeh hidangan Menu Rahmah menerima kecaman teruk daripada warganet, hari ini.
Ia berikutan satu video yang tular memaparkan pemimpin kerajaan negeri itu yang juga seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) merungut mengenai menu tersebut.
Dalam video itu, beliau dilihat merungut kerana sayur yang dihidangkan agak sedikit dan tiada kuah.
“Ikan seekor….sayur, kuah tiada pula…ini kuah dia (sambil menuang air oren ke dalam nasi). Barulah rasa nasi,” katanya dalam video yang berdurasi 18 saat tersebut.
Bagaimanapun tindakan pemimpin kerajaan negeri itu kurang disenangi oleh warganet kerana dikatakan tidak bersyukur dan menghina rezeki.
Namun, video asal yang dipercayai dimuat naik dalam Tik Tok pemimpin itu sudah dipadamkan.
Pelbagai komen ditinggalkan oleh pengguna media sosial yang terkilan kerana Menu Rahmah adalah inisiatif yang dibuat kerajaan untuk membantu meringankan beban kewangan rakyat ketika ini. – UTUSAN