GERIK: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak mengambil masa kira-kira empat jam untuk memindahkan dua ekor gajah liar yang dipercayai tersesat di Kampung Padang di sini hari ini.
Dua ekor mamalia berkenaan dikesan berada di kawasan ladang kelapa sawit yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah penduduk.
Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, gajah betina dan gajah jantan berusia antara 19 hingga 24 tahun dengan anggaran berat antara satu hingga dua tan itu ditangkap pada Jumaat lalu.
Katanya, tangkapan itu dilakukan dalam tempoh 24 jam selepas menerima aduan penduduk yang bimbang dengan kehadiran mamalia berkenaan.
“Dua ekor gajah liar tersebut dipercayai terpisah dari kumpulannya di Hutan Simpan Gerik dan dikesan berkeliaran hingga menghampiri kawasan perumahan penduduk.
“Dua ekor gajah denak betina iaitu Indah dan Suria dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Sungai Deka, Hulu Terengganu digunakan bagi tujuan memujuk gajah liar itu untuk proses pemindahan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, operasi bermula pukul 9 pagi itu melibatkan 20 kakitangan PKPG Sungai Deka dan PKGK Kuala Gandah serta Unit Tangkapan Gajah (UTG) Perak.
Katanya, gajah liar yang dinamakan Yob Padang dan Yong Ana itu akan dipindahkan ke habitat asal di Hutan Simpan Royal Belum.
“Setakat ini, kami menerima aduan berkaitan kerosakan pagar Sekolah Menengah Kebangsaan Gerik yang dikatakan berpunca daripada dua mamalia berkenaan,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk, S. Kalaiselvi, 49, berkata, dia pada mulanya tidak percaya kehadiran mamalia itu meskipun dimaklumkan suaminya yang terdengar tempikan haiwan tersebut dari hutan berhampiran.
Ini kerana katanya, selama lebih 10 tahun bekerja di ladang kelapa sawit, dia tidak pernah mendengar atau terjumpa haiwan tersebut.
“Selalu nampak gajah pun kalau terserempak di Jalan Gerik-Jeli atau lihat di zoo, tapi hari ini, dapat lihat di depan mata dan dekat pula dengan rumah.
“Saya datang ke sini dari pukul 9 pagi lagi bersama keluarga untuk lihat gajah dengan lebih dekat. Bukan kami sahaja yang teruja, malah jiran-jiran lain pun ramai datang ke sini untuk lihat proses pemindahan gajah,” katanya. – UTUSAN