Elak pembaziran makanan ketika Ramadan - Utusan Malaysia

Elak pembaziran makanan ketika Ramadan

MOHIDEEN ABDUL KADER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyeru orang ramai supaya tidak membazir makanan sepanjang Ramadan ini.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, sejak 11 tahun lalu setiap kali Ramadan, CAP menjalankan kempen menentang pembaziran dan sikap boros yang dilarang oleh Islam dan agama lain.

”Marilah kita berazam menjadikan Ramadan ini lebih bermakna dengan menjadikan rohani kita kaya.

“Elakkan daripada berbuka puasa di hotel dan sebagai ganti berbuka puasa di rumah dan masjid dengan ahli keluarga serta rakan-rakan.

“Jemputlah jiran bukan Islam anda untuk berbuka puasa bersama, dengan cara ini kita dapat membina hubungan baik dan persefahaman dalam kalangan rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohideen, Ramadan sepatutnya menjadi bulan beribadat bagi umat Islam tetapi bagi sesetengah orang ia menjadi bulan untuk menjamu selera dan membazir dalam perbelanjaan.

Sedangkan, kata beliau, Islam menyuruh umatnya untuk mengelakkan bersikap rakus, membazir dan boros.

”Berlawanan dengan ajaran ini, sesetengah orang makan dan minum begitu banyak sehingga menjadi malas serta mengabaikan kewajipan solat mereka,” katanya.

Tambah beliau, kerakusan dengan makanan juga boleh memberikan kesan sampingan kesihatan yang serius seperti diabetes, penyakit koronari dan tekanan darah tinggi.

”Salah satu tujuan berpuasa ialah untuk merasakan kelaparan yang dialami oleh golongan miskin dan terpinggir agar kita mempunyai sikap empati kepada mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya