KUALA LUMPUR: Pelakon, Edika Yusof, 55, memaklumkan dia tidak menghalang anak-anaknya untuk masuk ke dalam bidang seni sekiranya mereka menyimpan minat mendalam terhadap bidang tersebut.
Bercakap kepada pemberita sempena majlis tontonan episod akhir drama bersiri Project High Council semalam, Edika berkata tidak salah untuk anak-anaknya memgikut jejak langkah dalam dunia hiburan asalkan pelajaran tidak mereka abaikan.
“Saya mula berlakon sejak berumur 18 tahun. Jadi saya mengerti pahit jerih bidang ini.
“Saya tak kisah kalau anak-anak berminat dan ingin ikut jejak langkah saya menjadi pelakon. Sekurang-kurangnya mereka terima duit poket sendiri.
“Apa-apapun saya tetap mahukan mereka beri tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Edika mendirikan rumah tangga dengan suri hati pilihan, Nor Hidayah Yusri dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Nazirul Afiq, Fardeen Nasrulhaq dan Fareena Nurulhaq.
Kata Edika lagi, sekiranya dia juga mahu anak-anaknya mengikut cara yang betul sekiranya mereka berminat untuk menjadi pelakon.
“Anak-anak pun sudah membesar. Yang lelaki sudah maklumkan mereka tidak berminat. Manakala yang perempuan pula pemalu orangnya.
“Tapi Insya-Allah, sekiranya satu hari nanti timbul minat dalam diri mereka untuk berlakon, saya akan pastikan mereka belajar dan jadikan ia satu kemahiran,” tambahnya.