ARAU: “Dulu mengajar ibu bapa, sekarang anak-anak pula,” seloroh sesetengah guru yang masih mengajar di Sekolah Tengku Budriah (STB) di sini.
STB yang berusia lebih 130 tahun dan tertua di negeri ini itu sememangnya cukup unik dan sering menjadi perhatian sebahagian besar bekas penuntut menghantar anak mereka di sekolah berkenaan.
Pada hari pertama sesi akademik 2023/2024, yang bermula hari ini, tinjauan Utusan Malaysia di STB mendapati murid-murid tahun satu khususnya kelihatan begitu ceria, teruja dan cukup bersemangat memasuki alam persekolahan.
Meskipun masih baharu, namun kanak-kanak terbabit dilihat tidak menangis apabila ditinggalkan ibu bapa sebaliknya bersemangat ke kelas masing-masing.
Guru Besar STB, Md. Nazir Nik Ali berkata, perjalanan hari pertama sesi persekolahan cukup lancar dengan kanak-kanak ini begitu bersemangat ke sekolah.
Katanya, STB juga cukup unik yang sentiasa menjadi perhatian bekas-bekas penuntut menghantar anak mereka di sini.
“Ada juga sebahagian guru dahulu pernah mengajar ibu bapa dan kini mengajar anak-anak mereka pula. Kalau kita lihat, ibu bapa bekas-bekas penuntut ini akan kembali menghantar anak mereka di STB,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, seorang bapa, Norsham Kamis,38, berkata, anaknya yang memasuki tahun satu begitu teruja dan bangun seawal pukul 6.30 pagi untuk bersiap-siap ke sekolah.
Katanya, sebagai bekas murid sekolah berkenaan, dia juga mengambil inisiatif untuk menghantar anaknya di STB yang mempunyai sejarah cukup panjang.
“Kebanyakkan anak-anak tahun satu yang mula bersekolah hari ini kelihatan begitu ceria malah anak saya sendiri juga tidak menangis pada hari pertama persekolahan ini,” katanya.-UTUSAN