KANGAR : Para peniaga di bazar Ramadan dan Aidilfitri di sekitar kawasan di sini antara yang terjejas teruk ekoran hujan lebat berserta angin kencang yang melanda negeri ini petang tadi.
Antara yang terjejas teruk antaranya peniaga di bazar Ramadan Taman Sena di sini dan Festival Mega Raya Aidilfitri di Kangar Jaya di mana khemah-khemah perniagaan diterbangkan angin kencang.
Malah ada diantara peniaga pakaian khususnya di bazar Aidilfitri di sini kerugian sehingga ratusan ribu ringgit.
Di beberapa lokasi sekitar sini juga menyaksikan rumah terjejas teruk selain pokok tumbang di atas jalan raya.
Kejadian sekitar pukul 4.45 petang itu berlarutan kira-kira 30 minit.
Seorang peniaga sate di bazar Ramadan Taman Sena di sini, Nor Fazliyani Othman,39, berkata, kejadian yang berlaku cukup pantas itu menyebabkan khemahnya patah dan diterbangkan angin kencang.
Katanya, kejadian itu juga menyebabkan dia mengalami kerugian sekitar RM1,000.
“Kejadian berlaku begitu pantas. Barangan makanan juga semuanya habis basah menyebabkan saya terpaksa memberhentikan perniagaan hari ini.
“Ramai juga peniaga di bazar ini terjejas dengan ribut tersebut. Insya-Allah esok kami akan kembali berniaga meskipun masih terkesan dengan kejadian ribut ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd. Nazim Mohd. Noor berkata, setakat ini 86 mangsa dikenalpasti terlibat seluruh negeri ini.
Katanya, antara kawasan terjejas ialah di Kampung Baru, Taman Intan, Taman Dato’ Setia, Taman Kechor Indah, Behor Temak, Panggas dan Kota Kayang.
“Kita juga memohon mangsa-mangsa yang terlibat dalam kejadian ribut itu agar dapat membuat laporan melalui mesej peribadi di laman Facebook rasmi MAIPs.
“Mangsa juga diminta untuk memaklumkan kepada wakil MAIPs di kariah iaitu amil atau Pengurusan Jawatankuasa Kariah Masjid di seluruh ini.
“Lawatan berkaitan akan dilaksanakan dengan kerjasama agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) bersama MAIPs,” katanya.-UTUSAN