PETALING JAYA: Minggu separuh akhir Akademi Q urra’ menyaksikan penyingkiran dua peserta, Tilmiz Saifullah dan Tilmizah Nazirah sekali gus melayakkan lima lagi peserta mara ke pentas akhir.
Tilmizah Nazirah, 24, atau Nurnazhirah Shaharudin berkata, dia tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih sehingga mengalirkan air mata selepas tersingkir daripada program realiti terbitan TV AlHijrah itu.
“Alhamdulillah, saya dapat peluang hingga ke peringkat separuh akhir. Sejujurnya, saya sudah buat yang terbaik. Saya fikir, kalau tersingkir tidak mengapa kerana sudah usaha yang terbaik.
“Saya menangis kerana terlalu sedih tinggalkan Akademi Qurra’. Kedua, air mata syukur sebab dalam kumpulan saya tinggal saya dan Fahmi saja. Saya memang berdoa supaya dia dapat ke akhir. Potensi dia tinggi dan lebih besar.
“Tapi saya banyak belajar ilmu taranum menerusi program ini. Awalnya saya hanya tahu dua jenis taranum saja, tapi sekarang sudah banyak,” katanya.
Sementara itu, Tilmiz Saifullah, 19, atau nama sebenarnya Saifullah Khanip Rofli berkata, dia berasa sedih kerana gagal menunaikan impian ibunya. Yang meletakkan harapn besar untuk melihatnya di pentas akhir.
“Dari awal lagi saya memang menyasarkan kekal hingga ke akhir. Kedua ibu bapa dan rakan-rakan pun memberikan harapan besar.
“Jadi, apabila tersingkir itu yang saya tak dapat menahan air mata. Saya anggap itu satu kegagalan menunaikan janji pada mak,” ujarnya.
Pentas akhir Akademi Qurra’ bakal menyaksikan pertarungan sengit antara Tilmizah Maghfirah, Tilmiz Akasyah, Tilmizah Nooraini, Tilmiz Zuhdi dan Tilmiz Fahmi.
Pentas akhir Akademi Qurra’ yang berlangsung Sabtu ini dihoskan oleh Fakhrul UNIC dan diadili sepenuhnya oleh juri tetap iaitu Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman, Qari Muhammad Qayyim Nizar dan juri jemputan.
Sementara Mudarris dan Mudarrisah yang menjadi tulang belakang membimbing semua peserta pula ialah Ustaz Ammar Mukhlis, Ustazah Farhatul Fairuzah dan Ustazah Sofizah Mousin.