SUNGAI PETANI: Aktiviti mencuri bekalan elektrik untuk perlombongan bitcoin yang dijalankan di dua premis tumpas dalam serbuan Suruhanjaya Tenaga (ST) bersama Pasukan Pengekangan Kecurangan Tenaga Elektrik (SEAL) Tenaga Nasional Berhad (TNB), hari ini.
Pengarah Kawasan ST Pulau Pinang, Kedah dan Perlis, Muhamad Azmi Ishak berkata, hasil maklumat daripada TNB, satu serbuan dilakukan di dua premis di Bandar Amanjaya, di sini kira-kira pukul 10 pagi ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati dua premis terbabit menjalankan aktiviti perlombongan bitcoin dengan pengawasan kamera litar tertutup (CCVT) selain premis dalam keadaan berkunci.
“Modus operandi mereka adalah menyewa premis atau bangunan kedai yang sunyi dan terpencil. Mereka menggunakan sumber elektrik secara curang di mana premis ini tidak menggunakan meter sebaliknya disambung terus ke premis dan mereka guna elektrik tanpa bayaran,” jelasnya kepada media di sini, hari ini.
Katanya, kegiatan tersebut telah berlaku selama kira-kira setahun enam bulan dan jumlah kerugian yang ditanggung pihak TNB adalah sebanyak RM1.2 juta.
“Kita terpaksa mengambil masa selama hampir dua jam selain perlu meminta bantuan daripada pasukan bomba bagi memecah pintu dua premis tersebut.
“Sebanyak 147 unit bitcoin juga turut dirampas dalam serbuan ini, premis pertama kita berjaya merampas sebanyak 58 unit mesin bitcoin, manakala premis kedua pula sebanyak 89 unit mesin bitcoin. Siasatan lanjut akan dilakukan dan kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 37 (3) Akta Bekalan Elektrik 1990,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau juga menasihati pemilik premis supaya mengambil tahu aktiviti yang dilakukan oleh penyewa dan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat kegiatan yang mencurigakan dan menyalahi undang-undang. –UTUSAN