KULIM: Dua rakan maut setelah kereta dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori kargo di Jalan Kulim-Mahang berhampiran Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Karangan, di sini pagi ini.
Dalam kejadian pada pukul 8.40 pagi itu, mangsa yang meninggal dunia ialah lelaki berusia 22 tahun yang memandu kereta jenis Proton Wira dan penumpang hadapannya yang merupakan seorang wanita berusia 20-an.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Mohd. Redzuan Salleh berkata, kedua-duanya maut di tempat kejadian dan siasatan mendapati kereta dinaiki mereka dalam perjalanan dari arah Sungai Kob menghala ke Mahang, manakala lori dipandu lelaki berusia 43 tahun dari arah bertentangan.
“Apabila tiba di tempat kejadian kereta mangsa dipercayai memasuki laluan bertentangan selepas melalui satu selekoh lalu melanggar bucu hadapan sebelah kanan lori tersebut yang sedang bergerak di laluannya.
“Akibat pertembungan itu pemandu dan penumpang hadapan kereta mengalami kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Redzuan, pemandu lori terbabit yang tidak mengalami sebarang kecederaan ditahan untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, kedua-dua mayat dibawa ke Bilik Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarga masing-masing.
Ujarnya, kedua-dua kenderaan mempunyai cukai jalan yang sah, namun pemandu kereta itu tidak memiliki lesen memandu. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. –UTUSAN