Dua maut kereta berlanggar dengan lori pecah tayar

Dua maut kereta berlanggar dengan lori pecah tayar

ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mayat dua individu yang tersepit selepas kereta Proton Preve dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 38.2, Lebuhraya PLUS di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Dua maut apabila kereta jenis Proton Preve dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori satu tan di Kilometer 38.2, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, pada pukul 6.29 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kejadian yang mengorbankan seorang lelaki dan seorang wanita itu dipercayai berpunca daripada tayar lori tersebut yang pecah secara tiba-tiba.

“Siasatan awal mendapati lori tersebut berada di lorong kiri manakala kereta Proton Preve itu pula di lorong kanan. Secara tiba-tiba, tayar belakang sebelah kiri lori tersebut pecah menyebabkannya hilang kawalan hingga berlanggar dengan Proton Preve tersebut.

“Ekoran daripada itu, kereta Proton Preve tersebut terbabas ke kiri jalan lalu melanggar pokok. Pemandu kereta yang merupakan seorang wanita berusia 31 tahun dan penumpang lelaki berumur 35 tahun disahkan maut di lokasi kejadian oleh pasukan paramedik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ahmad Shukri, pemandu lori itu yang turut mengalami kecederaan di kepala telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk menerima rawatan.

“Jenazah kedua-dua mangsa turut dihantar ke Unit Forensik hospital sama untuk dibedah siasat. Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Bustan Karudin berkata, kedua-dua mangsa yang maut didapati tersepit dalam kereta tersebut.

“Pihak kami terpaksa menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa sebelum jenazah kedua-dua mereka diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya