Dua ditahan edar 451kg dadah - Utusan Malaysia

Dua ditahan edar 451kg dadah

Ditahan dadah
HUSSIEN Omar Khan menunjukkan sebahagian rampasan dadah oleh JSJN Bukit Aman pada Selasa lalu di Rawang, Selangor. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Dua lelaki tempatan ditahan polis selepas dikesan membawa 10 guni berisi bungkusan dadah menggunakan sebuah trak pikap di Rawang, pada Selasa lalu.

Dadah berkenaan dikenal pasti jenis methamphetamine sebanyak 503 bungkus dengan berat keseluruhan 451.22 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM14.9 juta.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, penahanan dibuat sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman selepas serbuan ke atas kenderaan jenis Nissan Navara pada pukul 12.55 tengah hari sebelum menahan dua suspek berusia 22 dan 33 tahun itu.

“Serbuan dibuat berdasarkan maklumat pengedaran dadah dan menemui 10 bungkusan guni putih yang mengandungi sejumlah 503 bungkusan plastik berwarna keemasan yang disyaki mengandungi dadah jenis methamphetamine. 

“Nilai rampasan dadah berkenaan dianggarkan bernilai RM14.9 juta dan dipercayai untuk pasaran Lembah Klang. Berdasarkan berat, dadah tersebut boleh digunakan oleh 2.1 juta pengguna dalam tempoh sehari mengikut kiraan 0.2 gram penggunaan seorang,” katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau menjelaskan, siasatan awal polis mendapati kedua-dua suspek baru sahaja aktif menjadi transporter sejak tiga bulan lalu dan diberikan bayaran sehingga RM10,000 bagi penghantaran dadah berkenaan. 

“Dadah berkenaan dipercayai dibawa masuk dari melalui negara jiran dan suspek bertindak membawa dadah itu dari Kelantan ke Selangor. Mereka disyaki menjadi sebahagian daripada rantaian pengedaran yang mempunyai fokus kerja tertentu.

“Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap dua suspek adalah negatif bagaimanapun kedua-dua mereka mempunyai rekod lampau mengikut Seksyen 39A(1); 12(2);15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Tambah Hussein, kedua-dua suspek kini direman sehingga 7 Mac ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B akta sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya