Dr. Farah Nini dilantik Pesuruhjaya Kanak- Kanak

Dr. Farah Nini dilantik Pesuruhjaya Kanak-Kanak

FARAH NINI DUSUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pensyarah Kanan di Fakulti Undang-undang, Universiti Malaya (UM), Dr. Farah Nini Dusuki dilantik sebagai Pesuruhjaya Kanak-Kanak bagi menganggotai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 8 Mac lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pelantikan Farah Dini diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Beliau berkata, pelantikan itu juga dibuat mengikut subseksyen 5 (2) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 [Akta 597].

“Farah Nini mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam bidang hak asasi manusia dan undang-undang berhubung kanak-kanak dan pensyarah kanan di UM sejak 2007.

“Sebelum itu, beliau pernah berkhidmat di Ahmad Ibrahim Kulliyyah of Laws, Universiti Islam Antarabangsa selama 15 tahun,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, Farah Dini memperoleh PhD dari Universiti Cardiff, Wales, United Kingdom dengan tesis menganalisa permasalahan sosio-perundangan bagi melindungi kanak-kanak daripada penderaan dan pengabaian.

Azalina berkata, antara bidang kajian beliau termasuk perundangan pengadilan jenayah, undang-undang kanak-kanak, perlindungan remaja dalam isu kesihatan reproduktif seksual serta pelaksanaan dan penguatkuasaan hak kanak-kanak di Malaysia.

“Dengan lantikan beliau, kerajaan berharap pelbagai isu kanak-kanak yang berlaku di Malaysia akan diberi perhatian lebih mendalam bagi memastikan hak asasi serta keselamatan kanak-kanak di negara ini terpelihara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya