PASIR SALAK: Anak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Dr. Faizal menawarkan diri bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak dalam pemilihan parti itu kali ini.
Beliau yang juga Naib Ketua UMNO bahagian menawarkan diri sebagai ketua bahagian itu dengan keazaman merampas kembali ketiga-tiga kerusi UMNO yang kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) iaitu Parlimen Pasir Salak, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Gajah dan DUN Sungai Manik.
Menurutnya, dengan pengalaman luas dalam UMNO Pasir Salak, beliau yakin mampu mengembalikan semula parti itu sebagai pilihan rakyat dalam PRU16.
“Sebelum ini, Bahagian Pasir Salak adalah kerusi UMNO yang terbaik pada PRU13. Ketika kerajaan Persekutuan dan negeri tumbang pada PRU14, kami di Pasir Salak berjaya mengekalkan majoriti undi lebih 7,000.
“Ini kerana pada pada masa itu, aktiviti politik yang kami laksanakan dengan berkesan dan hebat, kami merupakan barisan yang menyumbang kepada kemenangan BN pada PRU 2013 dan PRU 2018.
“Untuk PRU16, barisan yang telah terbukti memberikan kemenangan kepada parti akan dapat mengembalikan ketiga-tiga kerusi ini kepada Barisan Nasional (BN),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, dengan rekod penglibatannya dalam UMNO Pasir Salak selama 27 tahun sejak tahun 1997, bermula dari bawah, beliau memahami denyut nadi dan kehendak akar umbi.
Beliau berkata, ini memberikan kelebihan kepadanya untuk menjalinkan hubungan yang rapat dengan ahli peringkat akar umbi yang beliau sifatkan sebagai barisan hadapan parti.
“Saya menyertai UMNO pada April 1996, bermakna sudah 27 tahun. Saya bermula dengan menjadi jadi ahli biasa dalam Pemuda, kemudian perlahan-lahan meniti tapak dilantik sebagai ahli jawatankuasa Pemuda cawangan seterusnya ketua pemuda cawangan.
“Selepas itu ke peringkat bahagian, ketua pemuda bahagian dan sekarang naib ketua bahagian, bermakna saya meniti tujuh anak tangga untuk berada di tempat saya hari ini.
“Kerana saya dari akar umbi, saya memahami denyut nadi, kehendak dan aspirasi akar umni berbanding mereka yang terus dilantik ke bahagian tanpa ada pengalaman di peringkat cawangan.
“Sedangkan cawangan ini penting sebab ia merupakan barisan hadapan, bertempur dengan pihak lawan semasa pilihan raya. Mereka juga berdepan dengan rakyat biasa pada waktu-waktu yang lain, jadi adalah penting untuk kita rapat dengan akar umbi supaya kita tahu apa yang berlaku di peringkat akar umbi.
“Masalah kerap berlaku apabila pihak atasan atau pucuk pimpinan tidak mendapat feedback yang sebenar tentang apa yang berlaku di peringkat akar umbi, ini satu perkara yang saya ingin perbetulkan jika saya dipilih sebagai ketua bahagian,” katanya.
Faizal berkata, keputusannya bertanding jawatan Ketua Bahagian mendapat restu daripada bapanya, Tajuddin, bekas ketua bahagian yang kini berdepan penggantungan keahlian.
Menurutnya, apabila bapanya digantung keahlian, Timbalan Ketua Bahagian, Datuk Khairul Azwan Harun dilantik sebagai pemangku dan beliau sebagai naib ketua bahagian, merupakan pemimpin kedua UMNO Pasir Salak.,
“Ini bermakna jawatan ketua bahagian masa ini kosong, itu kena sedar dan saya tak mencabar sesiapa, saya cuma ingin menawarkan diri bagi jawatan tersebut untuk mengisi kekosongan.
“Restu (daripada bapa) memang betul, saya bincang dengan bapa bukan sebab dia ayah tapi kerana dia mantan ketua umno, berpengalaman dalam politik, apabila bertanding saya dan beliau profesional, sama seperti rakan-rakan lain yang meminta pandangan beliau, kita mohon pandangan bimbingan beliau.
“Beliau memberikan pesanan agar jujur dan ikhlas dalam perjuangan. Bapa mengingatkan sebagai pemimpin mesti pentingkan suara akar umbi daripada suara-suara yang lain kerana akar umbi yang melantik kita. Jika ada apa-apa yang menggangggu gugat kestabilan keharmonian dan perpaduan dan kebajikan ahli akar umbi, kita kena perjuangkan,” katanya. – UTUSAN