KUALA LUMPUR: Penganalisis politik berpandangan Dr. Muhamad Akmal Saleh mempunyai kelebihan untuk memenangi jawatan Ketua Pemuda UMNO berbanding calon-calon lain.
Katanya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu dilihat mampu membawa perubahan memandangkan beliau merupakan calon ‘neutral’ yang tidak memihak kepada mana-mana kem.
Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr. Azmi Hassan berpandangan Muhamad Akmal sesuai menjadi Ketua Pemuda UMNO kerana mampu membawa parti ke tahap lebih tinggi dengan kewibawaannya sendiri.
“Dr. Akmal telah terbukti sebagai wakil rakyat muda dan disenangi, bijak dan mempunyai latar belakang yang baik. Itu ciri penting untuk meluaskan penguasaan parti di semua peringkat.
“Karakter penting Dr. Akmal dilihat mempunyai sikit kelebihan berbanding calon lain sekali gus mampu merejuvinasi UMNO jika diberi peluang,” katanya.
Empat calon menawarkan diri untuk merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO yang ditinggalkan Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki pada pemilihan UMNO tahun ini.
Selain Muhammad Akmal, bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Mohd. Shahar Abdullah merangkap Ahli Parlimen Paya Besar; Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah dan Meor Hasan Mat Ali turut menawarkan diri bagi merebut jawatan berkenaan.
Dalam pada itu, penganalisis politik dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain, melihat Dr. Akmal menonjol dan berpotensi memberi saingan sengit dalam perebutan menggantikan Asyraf Wajdi.
“Saya lihat Dr. Akmal berjaya membuktikan prestasinya sebagai ADUN Merlimau dan Exco dalam Kerajaan Negeri Melaka meskipun masih muda.
“Ia sekali gus menjadi daya penarik kepada pengundi muda dan golongan profesional jika menjadi Ketua Pemuda UMNO yang baharu.
“Faktor itu penting perlu ada pada Ketua Pemuda UMNO yang baharu kerana akan bertanggungjawab menarik kembali sokongan orang Melayu dan golongan profesional,” katanya. – UTUSAN