Diskaun harga jika bawa bekas makanan di bazar Ramadan - Utusan Malaysia

Diskaun harga jika bawa bekas makanan di bazar Ramadan

SANDREA Ng Shy Ching (empat dari kanan) menyerahkan beg plastik biodegradable kepada peniaga dan pengunjung di Tapak Bazar Ramadan Stadium Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Peniaga disaran menawarkan diskaun harga kepada pembeli yang membawa bekas makanan sendiri ketika membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, cadangan itu bagi memberi kesedaran kepada pengguna terhadap kepentingan menjaga alam sekitar.

Menurutnya, perkara itu akan dibincangkan dengan peniaga demi mendapatkan situasi menang-menang di antara peniaga dan pembeli.

“Jika peniaga dapat menawarkan potongan harga kepada pembeli yang membawa bekas makanan sendiri, ini dapat menggalakkan mereka menyahut amalan konsep Bazar Ramadan Mesra Alam,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada program mengedarkan beg plastik biodegradable kepada pengunjung bazar di Tapak Bazar Ramadan Stadium Perak di sini hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri turut bercadang mengadakan kerjasama dengan pihak swasta melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk menggalakkan penggunaan bekas sendiri dengan pemberian cenderahati kepada pembeli.

Beliau berkata, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) juga menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Perak yang mengamalkan konsep Bazar Ramadan Mesra Alam.

“Ini bertepatan dengan kempen Bandar Rendah Karbon iaitu dengan menggalakkan pengunjung membawa bekas makanan sendiri,” katanya.

Sementara itu, Sandrea berkata, pihaknya akan melihat beberapa lokasi mural atau lukisan pada dinding bangunan di sekitar bandar raya Ipoh yang sudah mulai pudar kerana dikhuatiri akan menjejaskan kempen Tahun Melawat Ipoh pada tahun ini dan tahun depan.

Katanya, mural yang ada sekarang ada diantaranya di bawah kerajaan, agensi dan swasta.

“Kita mahu pastikan di lokasi tarikan pelancong tiada isu berbangkit. Kita akan lihat balik mural itu dibina oleh siapa sama ada kerajaan, swasta atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya