JAUH di sudut hati, saya sering tertanya-tanya mengapa begitu sukar seorang penyanyi muda bernama Wani Kayrie menembusi stigma serta penerimaan peminat dunia seni tanah air.
Bakatnya bukan calang-calang, tetapi entah mengapa perjalanan yang ditempuh bukan setenang air takungan. Namanya sentiasa berlegar dalam radar seni namun masih ada yang memandang rendah.
Lantas apa lagi yang tidak cukup? Segala kudrat sudah dikerah, pelbagai genre sudah dikunyah tetapi semua itu seolah-olah belum mencukupi untuk dia membuktikan bakat seni yang dimiliki.
Melayangkan pertanyaan, tidakkah dia lelah untuk terus mencuba? Apa lagi yang harus diberikan? Apakah bakat, suara dan paras rupanya tidak menemukan peminat seni tanah air dengan sang puas?
“Saya juga manusia biasa. Pernah rasa hampir berputus asa. Saya sudah beri segalanya tetapi karya-karya saya tidak dihargai. Saya juga tidak tahu mengapa. Kadang-kadang rasa murung dan tertekan juga.
“Puas saya meneroka pelbagai genre berbeza namun hasilnya tidak seperti yang diharap. Saya tertanya-tanya, mengapa rakan penyanyi lain mudah mencipta populariti? Mungkin tuah dan rezeki itu belum ada.
“Cuma saya tahu, setiap kita ada jalan ceritanya sendiri. Sebab itu saya masih di sini, masih tetap mencuba biarpun kadang kala, kesedihan datang menerpa. Tetapi tak apa, Tuhan itu ada untuk kita,” katanya.
Berkongsi pengalaman pahit yang masih tersisa dalam hatinya, nama gadis berusia 23 tahun ini pernah dibatalkan di saat-saat akhir semata-mata memberi laluan kepada artis lain yang lebih tinggi jumlah pengikut di media sosial.
Sedar itu mungkin bukan rezekinya tetapi perasaannya cukup terluka. Bakatnya seperti dinafikan dan segala pembuktikan selama 13 tahun dalam industri akhirnya tewas dengan jumlah serta angka.
“Mungkin sebab saya ini tidak banyak lagu popular. Pengikut juga tidak ramai, belum cukup sejuta. Baru 700,000. Bukan sekali dua saya melalui pengalaman begini, memang sedih dan melukakan.
“Saya tahu, mereka juga ada sasaran dan sebab memilih artis-artis tertentu tetapi usah menabur janji pada awal perbincangan,” kongsinya.
Senang sendiri
Cuba beralih kepada gelanggang soalan berbeza, penyanyi Jangan Terlepas Pandang itu sudah mula tersenyum. Seperti dapat mengagak arah pertanyaan. Sebelum soalan diluncurkan, dia sudah beri ‘amaran’ manja.
“Jangan tanya soal cinta tau. Hati saya pernah tersakiti. Cukup,” selorohnya.
Tetapi nama pun sekadar pertanyaan, saya tetap melayangkan tentang siapa pemilik hatinya kini. Umum sedia tahu, dia pernah dikait kononnya menjalinkan hubungan dengan seorang penyanyi.
Namun kisah ‘cinta’ itu dikhabarkan terputus di tengah jalan. Lantas apakah Wani kini selesa sendiri atau sudah ada yang bertakhta di hati?
“Tiada siapa. Solo lebih selesa. Saya sudah penat dengan istilah mengenali isi hati seseorang. Saya juga sedar diri, bila sudah mula sukakan seseorang, saya akan mudah hilang fokus dan leka.
“Cukuplah saya dikelilingi keluarga dan rakan-rakan baik. Mungkin mereka tidak akan sentiasa ada 24 jam sehari tetapi pasti tetap bersama ketika saat diperlukan. Cukuplah itu. Teman lelaki, tidak buat masa sekarang,” tambahnya.
Berbicara tentang persahabatan, Wani sebenarnya menyimpan satu episod hitam yang sehingga kini kekal menghantuinya. Dia pernah dihina dan dipandang rendah oleh orang sekeliling hanya kerana kerana cinta seni yang mendalam.
“Sukar sebenarnya menjadi seorang Wani Kayrie. Dulu saya dipandang rendah oleh rakan-rakan dan guru sendiri. Mereka melihat saya sebagai pelajar yang hanya tahu menyanyi dan mengabaikan pelajaran.
“Sampai ada yang mengata kononnya saya ini belajar tak pandai, menyanyi sahajalah. Dan ayat itu keluar daripada guru yang saya kenal rapat. Itu cukup menyakitkan.
“Tetapi saya buktikan kepada satu sekolah, bahawa pelajar yang mereka berkata buruk ini akan berjaya di atas kakinya sendiri tidak kira dalam apa jua perkara. Mereka yang dahulu menghina kini jatuh cinta,” ujarnya.
Menanti sinar fajar
Baru sahaja meluncurkan single baharu, Fajar, Wani kali ini berpatah semula ke genre pop balada selepas beberapa lagu berentak rancak. Dia mahu menonjolkan vokal dan penceritaan dalam sesebuah lagu.
Risau tetap ada dalam dirinya. Bagaimana dengan penerimaan peminat? Adakah lagu balada mampu melonjakkan lagi namanya? Atau percaturan ini akan tinggal sebagai satu eksperimen sahaja?
“Fajar merupakan single ketiga saya bersama pengurusan, Rocketfuel. Lagu tersebut dicipta oleh Shazee Ishak dan Audi Mok. Kali ini, genrenya berbeza. Takut sebenarnya nak lancarkan lagu ini.
“Saya terfikir, adakah peminat suka? Boleh ke terima lagu balada? Sebab sebelum ini genrenya pop dangdut dan elektronik. Jadi arah muzik itu sudah berubah. Saya mahu menambah portfolio dalam kanvas seni.
“Fajar juga adalah lagu pilihan saya sendiri. Saya mahukan lagu yang fokus ke arah penceritaan menerusi lirik dan range vokal sendiri,” jelas penyanyi yang juga seorang pelakon itu.
Ditanya apakah impian yang belum tercapai, anak kelahiran Sabah itu tergelak kecil. Dia mahu menghasilkan sebuah album ciptaan sepenuhnya, dari penulisan lagu, lirik dan konsep. Semuanya idea sendiri.
“Saya mahu jadi inspirasi kenapa generasi pelapis dunia seni kelak. Saya tidak hanya dikenali sebagai penyanyi tetapi juga komposer dan penulis lirik yang cemerlang. Jauh lagi perjalanan itu.
“Saya ada juga cuba mencipta lagu sendiri tetapi belum berani nak lancarkan. Mungkin setahun dua nanti, keberanian itu akan datang,” kongsinya.