Digigit anak buaya ketika ambil wuduk - Utusan Malaysia

Digigit anak buaya ketika ambil wuduk

CHE Man Zakaria menunjukkan tangan kanannya yang cedera akibat digigit seekor anak buaya di kawasan paya di Padang Papan, Manir, Kuala Terengganu, Jumaat lalu. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang penduduk mengalami kecederaan di tangan kanannya akibat digigit seekor anak buaya dipercayai spesies tembaga ketika mengambil wuduk di kawasan paya di Padang Papan, Manir, di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian pada pukul 7.25 malam itu, mangsa, Che Man Zakaria, 61, yang juga peniaga ikan darat menerima 12 jahitan akibat digigit reptilia tersebut.

Menurutnya, Che Man memberitahu, sebelum kejadian dia bersama beberapa rakannya memasang lukah untuk menangkap ikan darat di paya itu.

Katanya, dia kemudian ingin berehat sementara sambil menunaikan solat Maghrib dan kemudian mengambil wuduk di kawasan paya berkenaan.

“Sewaktu saya mencangkung untuk mengambil wuduk tiba-tiba seekor buaya dipercayai spesies tembaga seberat sepanjang dua meter dan berat lebih 50 kilogram menyambar tangan kanan saya.

“Ia menyebabkan saya turut terjatuh ke dalam paya berkenaan yang sedalam kira-kira 1.7 meter,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kebor Besar, Manir, di sini, hari ini.

Che Man berkata, dia bergelut dengan anak buaya tersebut dan berjaya melonggarkan gigitannya sebelum berenang ke tebing paya untuk menyelamatkan diri.

Pada masa sama, tambahnya, beberapa rakannya yang melihat kejadian itu juga cuba membantu menyelamatkannya.

“Saya kemudian menggagahkan diri dalam keadaan tangan kanan berlumuran darah menunggang motosikal pulang ke rumah sejauh kira-kira 11 kilometer,” ujarnya.

“Salah seorang anak saya kemudian membawa saya ke Klinik Kesihatan Manir sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk menerima rawatan,” ujarnya.

Che Man memberitahu, dia juga mengakui pernah terserempak dengan sekurang-kurangnya tiga ekor buaya termasuk yang menyerangnya sejak awal tahun ini.

Katanya, buaya-buaya tersebut dipercayai terlepas dari Sungai Nerus yang bersambung dengan kawasan paya terbabit akibat limpahan pada musim banjir baru-baru ini.

“Harap orang ramai yang ingin memancing di kawasan paya itu agar berhati-hati. Saya bernasib baik cuma cedera dan tidak dibaham haiwan ganas berkenaan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya