SHAH ALAM: Dendam peribadi kerana hubungan sulit dipercayai menjadi punca kejadian letupan melibatkan sebuah Perodua Myvi milik seorang penghantar barangan dibom dalam satu kejadian dekat Padang Jawa, 16 Februari lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan lanjut polis terhadap insiden tersebut mengesan perbuatan tersebut dan kini usaha sedang dilakukan bagi menangkap suspek yang terbabit.
“Motif disyaki kerana mangsa ada skandal (hubungan) dengan seorang wanita, tetapi kita masih menyiasat. Ini lebih kepada isu peribadi dan kita masih mengumpul keterangan cukup untuk tangkapan,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Sabtu lalu, Utusan Malaysia melaporkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang digunakan untuk hantar barangan parcel dibom dalam satu insiden letupan dekat hadapan rumah pemiliknya kira-kira pukul 3.50 pagi.
Bumbung kenderaan milik lelaki berusia 35 tahun tersebut didapati berlubang disyaki terkena bahan letupan.
Setakat ini 10 saksi dirakam percakapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan. – UTUSAN