Demokrasi dalam UMNO masih subur - Utusan Malaysia

Demokrasi dalam UMNO masih subur

MUSTAPHA Yaakub (kanan) menunjukkan borang senarai nama calon-calon yang akan bertanding dalam pemilihan parti selepas taklimat khas di bangunan UMNO Negeri di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan UMNO 2023, Datuk Mustapha Yaakub menyifatkan penyertaan lebih 11,000 calon yang bertanding dalam pemilihan parti kali ini sebagai bukti amalan demokrasi dalam UMNO masih lagi subur.

Menurut beliau, perkembangan tersebut juga menjadi penanda aras UMNO masih mempunyai ramai pemimpin pelapis muda yang berbakat untuk merebut jawatan di peringkat Pusat, bahagian dan tiga sayap parti.

Katanya, pemilihan parti kali ini juga lebih hangat, panas dan meriah di sebalik pelbagai kecaman dan tuduhan yang dilemparkan orang luar kononnya UMNO semakin lesu dan tidak bermaya dalam arena politik negara.

“Berbanding pemilihan parti pada tahun 2018 lalu, (ia tidak begitu meriah) kerana ramai pemimpin-pemimpin yang ‘masuk gua’. Mereka bersembunyi kerana kekalahan UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Tapi kali ini, oleh kerana gua yang gelap gelita itu dah nampak ada cahaya masuk, maka pemimpin-pemimpin ini  sudah keluar gua dan mula menawarkan diri untuk bertanding dan merebut jawatan.

“Saya tak pasti adakah jumlah calon yang tinggi ini disebabkan ‘penghuni-penghuni gua sudah keluar’, namun penyertaan mereka ini akan menambahkan lagi kemeriahan dalam pemilihan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri taklimat khas Jawatankuasa Pemilihan UMNO Terengganu di Bangunan Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mustapha berkata, pihaknya turut menafikan dakwaan wujud unsur ugutan dan gangsterisme dalam pemilihan parti kali ini.

“Tak betul, tak pernah berlaku dalam UMNO ada unsur-unsur gangsterisme dan ugutan. Saya menafikan sekeras-kerasnya sebarang cerita bahawa wujud perkara ini dalam pemilihan parti.

“Jangan percaya mana-mana cerita yang didengari kerana ia tidak berlaku dalam UMNO, tak pernah ada ugutan, nak pukul atau perkara sebegitu.

“Kita bertanding dalam satu keluarga dan saya cukup yakin bahawa calon yang tewas nanti akan berlapang dada dan tetap bersama dalam UMNO,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya