Dapat hadiah jika lengkap 20 rakaat solat tarawih - Utusan Malaysia

Dapat hadiah jika lengkap 20 rakaat solat tarawih

PENGURUSAN Masjid Kapitan Keling di George Town, Pulau Pinang memeriksa kehadiran kanak-kanak yang berjaya melengkapkan 20 rakaat solat tarawih di masjid itu sepanjang Ramadan ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Datang masjid dan lengkapkan 20 rakaat tarawih selama 10 hari, dapat hadiah.

Itu inisiatif yang diambil oleh pengurusan Masjid Kapitan Keling yang merupakan masjid tertua di negeri ini untuk menarik minat kanak-kanak mendekati masjid sepanjang Ramadan ini.

Setiausaha Masjid Kapitan Keling, Mohamed Rizdwan Abdul Ghafoor Khan berkata, idea itu datang secara spontan ketika beliau dan seorang rakannya melihat kanak-kanak bermain selepas menunaikan solat tarawih di pekarangan masjid pada 1 Ramadan lalu.

“Ketika itu, saya lihat ramai kanak-kanak datang ke masjid ini dan saya terfikir bagaimana untuk menarik minat mereka terus kekal bersolat di masjid sehingga 30 Ramadan.

“Pada hari pertama Ramadan saya beri mereka aiskrim sebagai galakan untuk terus datang ke masjid dan mereka gembira dengan pemberian ini.

“Idea datang secara spontan untuk terus memberikan hadiah kepada ka­nak-kanak yang datang­ menunaikan solat tarawih di sini, mereka perlu lengkapkan 20 rakaat solat tarawih selama 10 hari dan akan diberikan hadiah,” katanya di sini semalam.

Jelasnya, mereka dibekalkan de­ngan kad khas sebagai pe­nanda kehadiran dan mereka perlu mendapatkan cap daripada Pengerusi masjid, Faruk Raja Mohamed setiap kali selesai menunaikan solat tarawih.

“Pada hari pertama kami edarkan kad khas ini kepada 42 orang kanak-kanak dan sehingga hari ini mereka nampak­nya begitu bersemangat untuk melengkapkan solat tarawih 20 rakaat.

“Sekiranya mereka berjaya melengkapkan solat terawih sepanjang 30 Ramadan ini, mereka akan memperoleh tiga hadiah oleh pengurusan masjid,” katanya.

Tambahnya, ibu bapa juga memaklumkan pada masa ini anak-anak yang sering mengi­ngatkan mereka untuk ke masjid bagi menunaikan solat tarawih.

“Kanak-kanak memang suka bermain dan sukakan hadiah, jadi menerusi inisiatif ini kita dapat dekatkan kanak-kanak bersama keluarga mereka de­ngan masjid.

“Hadiah-hadiah yang akan diberikan mungkin merupakan peralatan permainan seperti kereta mainan, basikal dan ada juga kanak-kanak yang me­minta ‘drone’, kita akan pertimbangkan permintaan mereka asalkan mereka lengkapkan solat tarawih di masjid,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya