MARANG : Calon Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Nik Suryani Megat Deraman mengakui calon-calon yang bertanding merebut jawatan tersebut berkempen dalam suasana kekeluargaan.
Beliau yang merupakan bekas personaliti TV3 berkata, calon-calon terlibat didapati menjalankan kempen secara harmoni tanpa melibatkan serangan peribadi lawan.
Katanya, suasana tersebut juga merapatkan hubungan di antara calon-calon yang bertanding apabila saling hormat-menghormati.
“Saya sebagai calon muka baharu berbangga dan teruja dengan semangat serta sokongan yang ditunjukkan semua calon yang bertanding,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menjadi perwakilan pada Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Marang di Bukit Payunq di sini, hari ini.
Nik Suryani berkata, semua calon yang bertanding jawatan itu terutama dalam kalangan muka-muka baharu juga mempunyai kesungguhan tinggi untuk membantu mengukuhkan kembali kekuatan parti selepas mengalami kekalahan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Tambahnya, mereka yakin UMNO kembali bangkit dan mendapat sokongan rakyat menerusi gerak kerja yang akan dijalankan barisan Exco Wanita UMNO yang bakal dilantik nanti.
“Siapa sahaja calon yang bakal dipilih nanti akan dapat memikul tanggungjawab dan amanah untuk memartabatkan parti supaya kekal disanjungi rakyat,” ujarnya.
Pada 16 Februari lalu, Utusan Malaysia melaporkan, Nik Suryani yang bertanding jawatan Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia mendapat restu daripada Ketua Bahagian Marang, Datuk Nik Dir Wan Ku. – UTUSAN