Buruh hilang ketika keluar memikat burung - Utusan Malaysia

Buruh hilang ketika keluar memikat burung

ASHAHIDI Awang (tengah) menunjukkan motosikal milik Mohd. Azani Alias yang ditemukan di kaki Bukit Sudu, Kuala Nerus, semalam. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Seorang buruh dilaporkan hilang ketika keluar memikat burung di dalam hutan simpan dekat Bukit Sudu, Kampung Lingai di sini, Isnin lalu.

Mangsa, Mohd. Azani Alias, 37, dikatakan keluar dari rumahnya di Kampung Pengkalan Arang, di sini pada pukul 6.30 pagi pada Isnin sebelum keluarganya membuat laporan polis setelah 24 jam tidak pulang ke rumah.

Menurut rakannya, Ashahidi Awang, 35, dia menerima dua pesanan WhatsApp daripada mangsa antara pukul 7 pagi sehingga 9.37 pagi kelmarin sejurus sebelum Mohd. Azani gagal dikesan.

“Kami sepatutnya pergi sekali tetapi saya bangun daripada tidur agak lewat. Mohd. Azani menghantar gambar kawasan pokok getah disusuli gambar burung dipercayai yang berjaya ditangkapnya.

“Sekitar pukul 10 pagi, saya cuba menghubungi mangsa namun gagal. Bagaimanapun saya dan rakan-rakan pergi memikat burung seperti biasa tanpa berfikir kejadian buruk menimpa Mohd. Azani.

“Lewat petang itu kira-kira pukul 6.45 petang, abang mangsa, Mohd. Zuhaidi, 41, memaklumkan Mohd. Azani belum pulang ke rumah menyebabkan kami menjadi risau,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, menurut Mohd. Zuhaidi, laporan polis mengenai kehilangan Mohd. Azani dibuat oleh ahli keluarga mangsa itu di Balai Polis Gong Badak di sini pada pukul 7 pagi semalam sebelum mereka menemui motosikal mangsa di kaki Bukit Sudu kira-kira pukul 2.30 petang.

“Dia tidak pernah pulang lewat kalau masuk ke hutan. Jadi apabila hampir Maghrib dia belum balik, peliklah. Kami cuba cari kawasan seperti dalam gambar yang dihantar dalam WhatsApp itu namun gagal,” ujarnya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din, berkata lebih 50 anggota pelbagai agensi digerakkan bagi operasi mencari dan menyelamatkan mangsa.

Beliau memberitahu, fokus pencarian terarah pada jarak 100 meter dari lokasi motosikal mangsa dijumpai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya