TAWAU: Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 8 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes terhadap seorang wanita yang didakwa membunuh pemandu e-hailing yang juga suaminya pada 13 Januari lalu.
Majistret Leona Dominic Mojiliu menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan memohon tarikh sebutan kes yang baharu terhadap Nurima Juli, 33.
Tertuduh didakwa pada 30 Januari lalu atas pertuduhan membunuh Nurman Bakaratu, 61, yang juga seorang pemandu e-hailing di kawasan ladang sawit di Batu 5, Jalan Apas antara pukul 7.30 malam hingga 10.30 malam pada 13 Januari lalu.
Pihak pendakwaan dibarisi oleh Timbalan Pendakwa Raya Khairul Azreem Mamat; Rohaiza Abdul Rahman dan Mohammad Fakhrurazzi Ahmad Salim.
Permohonan tarikh baharu itu dibuat bagi membolehkan pihak pendakwaan melengkapkan semua dokumen serta menunggu laporan kimia dan laporan pakar sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Nurima didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Terdahulu pada 8 Februari lalu, enam individu termasuk lima pegawai dan anggota polis didakwa atas pertuduhan yang sama iaitu membunuh Nurman pada tarikh dan lokasi yang sama. – UTUSAN