KANGAR: Selain terkenal dengan banyak lokasi pelancongan menarik yang menjadi tumpuan pengunjung kebelakangan ini, Perlis juga sebenarnya mempunyai sebuah ladang bunga matahari yang pemandangannya cukup mempesona di Taman Ular dan Reptilia di Sungai Batu Pahat di sini.
Bunga matahari tersebut yang kini sedang kembang mekar untuk hanya tempoh tiga ke empat minggu, membuatkan pengunjung termasuk dari luar negeri ini tidak melepaskan peluang mengunjungi taman ular berkenaan bagi menyaksikan sendiri keindahan ladang itu yang turut berlatar belakangkan panorama memukau Banjaran Nakawan.
Kesesuaian proses tanaman bunga matahari tersebut lazimnya dilakukan pada Oktober atau November kerana cuaca panas pada penghujung sehingga awal tahun itu.
Manakala, proses semaian sehinggalah bunga tersebut mekar adalah selama tiga bulan seterusnya mampu bertahan mekar sehingga empat ke enam minggu jika mendapat kepanasan matahari yang mencukupi.
Pegawai Pengurusan Acara dan Pemasaran Taman Ular dan Reptilia, Nur Alia Mohd. Zuber berkata, ladang bunga matahari seluas 0.202 hektar itu mula diusahakan sejak 2019.
Katanya, selepas berakhirnya tempoh bunga matahari itu mekar, proses tanaman tersebut akan dilaksanakan semula.
“Proses tanaman bermula dari melakukan semaian benih bunga matahari dalam polybag yang mempunyai tanah campuran topsoil dan baja compost. Kemudian proses gembur tanah tapak penanaman dalam tempoh satu minggu sebelum pemindahan anak pokok.
“Anak pokok setinggi dua ke tiga inci kemudian dipindahkan ke tapak tanaman dengan jarak tanaman sekitar satu kaki. Proses pembajaan kali pertama adalah setelah anak pokok bunga matahari itu mencecah enam ke tujuh inci dalam masa lima minggu serta kali kedua setelah anak pokok mencecah dua bulan.
“Daripada segi penyiraman pula adalah pada setiap hari pada musim panas atau dua sehingga tiga hari sekali pada musim hujan. Musim ini sekitar Januari sehingga Mac, bunga matahari berkenaan berkembang cukup mekar seterusnya menyaksikan pelancong tidak melepaskan peluang datang ke sini,” katanya.
Sementara itu, seorang pengunjung dari Perak, Ku Khasyekin Ku Khalid, 37, berkata, dia yang pulang ke Perlis untuk bercuti tidak melepaskan peluang mengunjungi ladang bunga matahari di Taman Ular dan Reptilia Sungai Batu Pahat ini.
Katanya, keindahan bunga matahari yang sedang berkembang mekar itu menjadi antara tarikan pengunjung yang tidak melepaskan peluang merakamkan gambar dan video.
“Selain itu, saya juga membawa anak-anak bagi memperkenalkan keindahan bunga matahari itu kepada mereka. Anak-anak juga sangat tertarik melihat keindahan ladang bunga matahari itu,” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Rosnani Nazri,38, pula berkata, musim panas antara Januari sehingga Mac juga sangat dinantikan bagi pencinta bunga matahari untuk melihat bunga berkenaan berkembang mekar sekali gus menyajikan pemandangan cukup indah.-UTUSAN