MELAKA: Kegagalan untuk menghubungi telefon bimbit milik mangsa sejak pukul 8 malam kelmarin, membuatkan ahli keluarga kepada lelaki yang hilang di Bukit Beruang di sini berharap sesuatu yang buruk tidak menimpa Steven Tan Kim Huat, 45.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, abang mangsa, Kelvin berkata, sudah menjadi kebiasaan buat Steven yang menetap di Kajang, Selangor ke lokasi berkenaan untuk mendaki apabila pulang ke kampung halaman.
Katanya, sebelum kejadian adiknya yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak itu ada memaklumkan kepada ibu mereka untuk ke Bukit Beruang, kira-kira pukul 4.30 petang.
“Dia tidak pulang ke rumah di Krubong Jaya menyebabkan saya cuba menghubunginya bermula pukul 8 malam kelmarin, namun gagal. Apabila beberapa kali gagal menghubungi, saya dan isteri terus pergi ke Bukit Beruang dan hanya menemui kereta Suzuki Swift milik Steven masih berada di parkir di kaki Bukit Beruang.
“Selepas itu, saya membuat laporan polis di Balai Polis Ayer Keroh serta memaklumkan mengenai kehilangan adik saya. Mendaki adalah sukan yang sering dilakukan oleh Steven dan ini merupakan kejadian pertama dia hilang tanpa dapat dikesan,” katanya ketika ditemui.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, setakat pukul 4 petang semalam mangsa masih belum ditemui.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah digerakkan bermula pukul 9.50 malam kelmarin dengan tertumpu di check point 3 dan 4 di bukit berkenaan.
“Namun usaha mencari dan menyelamat gagal menemui mangsa. Pencarian diteruskan bermula seawal pukul 7 pagi semalam dengan kekuatan melibatkan 12 pegawai dan anggota polis termasuk Unit Anjing Pengesan (K-9) dan lain-lain agensi,” katanya.-utusan