KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes saman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadap bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam akan didengar oleh Mahkamah Tinggi di sini selama tiga hari bermula 29 Januari tahun depan.
Peguam Joshua Tan yang mewakili Ismail Sabri memberitahu wakil media, tarikh perbicaraan pada 29 hingga 31 Januari 2024 itu ditetapkan oleh Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh pada prosiding 29 November 2022.
Pada prosiding pengurusan kes hari ini, Hakim Ahmad Shahrir mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan dokumen berkaitan perbicaraan kes termasuk senarai saksi pada 20 Mac ini.
“Mahkamah juga menetapkan pengurusan kes selanjutnya pada 21 Mac,” katanya sambil memaklumkan prosiding hari ini turut dihadiri peguam Mohd. Faiz Abd Rahim mewakili Lokman.
Pada 8 September 2022, Ismail Sabri, 63, yang juga Ahli Parlimen Bera selaku plaintif memfailkan saman atas kapasiti peribadi beliau dan menamakan Lokman, 50, sebagai defendan.
Dalam pernyataan tuntutan, Ismail Sabri mendakwa Lokman pada 22 Ogos 2022 telah membuat beberapa kenyataan fitnah terhadapnya dalam video bertajuk ‘Bila Presiden UMNO Panggil Tak Datang! Tapi PM Ada Masa Jumpa Mahathir – Lokman Adam.’
Beliau berkata, kenyataan itu yang berniat jahat, berunsur fitnah dan tidak benar telah dimuat naik di empat akaun media sosial milik defendan iaitu YouTube ‘Lokman Adam,’ Facebook ‘Lokman Noor Adam Official,’ Instagram ‘lokmannooradam’ dan TikTok ‘datoklokmanadam.’
Menurut plaintif, kata-kata fitnah itu antara lain membawa maksud beliau telah berjumpa dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan merancang atau berniat untuk merancang dengan bekas Perdana Menteri itu serta parti politik lain yang bertentangan dengan UMNO untuk kekal sebagai Perdana Menteri dengan membelakangkan dan mengkhianati UMNO. – UTUSAN