Beri saya masa untuk berhijab - Utusan Malaysia

Beri saya masa untuk berhijab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENAMPILAN pelakon, Vanida Imran, 50, yang manis bertudung ketika menghadiri majlis tayangan filem Imam baru-baru ini memancing  pelbagai reaksi netizen.

Ramai yang memuji kecantikan dramatis itu menyarungkan hijab, tidak kurang juga yang mendoakan agar Vanida diberikan hidayah agar kekal berpenampilan sedemikian.

Dalam pelakon itu dihujani kata-kata motivasi dan sokongan, dia turut menerima kritikan, termasuk yang berbaur sindiran gara-gara kenyataannya yang mengakui belum bersedia untuk sepenuhnya berhijab.

Lantas penulis mendapatkan maklum balas anak kelahiran Pulau Pinang ini terhadap komen negatif yang dilemparkan.

Vanida memohon agar masyarakat memberikan dia masa untuk mengenali erti hijrah sebenar. Sambungnya lagi, dia percaya Allah S.W.T mengetahui masa yang betul-betul tepat untuk dia menutup aurat sepenuhnya.

“Hijrah ada prosesnya. Saya kena betul-betul pastikan saya bersedia sebelum melakukannya. Beri saya ruang untuk belajar dan tambah pengetahuan berkaitannya.

“Saya tahu, menutup aurat dengan berhijab itu satu kewajipan dan tuntutan (agama). Tetapi, saya tak mahu jiwa kekal meronta dan masih berpakaian ketat apabila sudah bertudung kelak.

“Beri saya ruang untuk fahami dengan sebenar-benarnya erti penghijrahan sebelum saya membuat keputusan untuk melakukannya,” katanya.

Tegas Vanida, kata-kata nista yang dilemparkan terhadapnya tidak sedikitpun membekas, malah tidak sama sekali meninggalkan kesan.

“Susah untuk kita tutup mulut tempayan. Jadi pada usia saya yang sudah separuh abad ini, saya benar-benar tak ambil peduli.

“Namun setakat ini, Alhamdulillah. Belum ada komen netizen yang merengsakan saya. Ramai yang mendoakan agar saya berhijrah dan istiqamah. 

“Kalau saya tertengok (komen) dan terpanggil untuk balas, saya balas. Apa yang selalu saya katakan, Insya-Allah. Itu pasti dan doakan saya,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama, Vanida memaklumkan dia masih dalam proses mendalami ilmu (agama) untuk memperbaiki diri.

“Beri saya masa, berubah perlahan-lahan. Saya kena kuatkan rohani terlebih dahulu, tambah pengetahuan untuk menutup kekeliruan. Saya takut jatuh fitnah,” jawabnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya