PASIR MAS: Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mahu UMNO yang menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan memulangkan semula royalti kepada rakyat dan kerajaan Kelantan sebelum bercakap soal bekalan air bersih.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali atau Tok Him berkata, kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengatakan masalah air Kelantan akan selesai sekiranya BN menang dan kembali memerintah negeri itu disifatkan sebagai ‘meriam buluh semasa waktu berbuka puasa’.
“Saya nak lihat, mampukah Ahmad Zahid menasihati Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) supaya melunaskan royalti minyak mengikut perjanjian atau sanggupkah terus mengalas dosa yang akan menerima hukuman Allah kelak?
“Walaupun wujud perbedaan politik dan parti…namun hak yang termaktub dalam perjanjian wajib di hormati dan di laksanakan. Berjanji apa yang sudah termaktub dalam perjanjian dengan syarat undi UMNO dulu adalah suatu pendustaan yang amat mengaibkan dan memalukan,” katanya semasa berucap merasmikan Persidangan Tahunan Putra Bahagian Pasir Mas di Bunut Susu, di sini hari ini.
Ibarhim memberitahu, janji atau sumpah akan menjadi pemimpin bersih dan menolak rasuah lebih baik dan rakyat pasti akan menghargainya.
Katanya, budaya janji sudah lapuk dan tidak releven dengan dunia hari ini apabila rakyat sudah bijak membuat penilaian khususnya golongan muda.
“Janji UMNO selama ini sudah bertimbun yang tidak di tunaikan. Apakah…masih tidak sedar bahawa zaman mempersendakan minda rakyat sudah berakhir.
“Dasar UMNO, selagi tidak di beri kuasa mentadbir negeri, tiada pertolongan kerajaan pusat. Bagi menang UMNO dulu, baru ada pertolongan dan apa jua masaalah untuk di selesaikan. Perkara ini sungguh tidak ada hati budi dan tidak menghormati perlembagaan negara,” tegasnya.
Bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, Pas tidak mampu untuk membangun negeri tanpa wang atau peruntukan yang cukup kerana mereka tidak mempunyai
pemimpin kreativiti dan inovasi.
Katanya, pemimpin Pas lebih suka berceramah dengan ungkapan retorik sepanjang masa walaupun Kelantan mempunyai sumber berpotensi untuk dimajukan.
Jika dapat royalti minyak pun, belum tentu akan di guna sebaik mungkin untuk kepentingan rakyat,” katanya. – UTUSAN