Belanja makan pada Ramadan lagi tinggi - Utusan Malaysia

Belanja makan pada Ramadan lagi tinggi

PENGUNJUNG mendapatkan juadah berbuka puasa ketika berkunjung ke Bazar Ramadan Stadium Shah Alam di Shah Alam, Selangor. – UTUSAN/MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Perbelanjaan barangan asas seperti makanan terutama yang siap masak bagi berbuka puasa pada bulan Ramadan dikesan lebih tinggi berbanding hari biasa berikutan harga jualan juadah mahal di bazar-bazar sekitar kawasan ini.

Malah, segelintir masyarakat menyifatkan bazar Ramadan sebagai tempat ‘orang berada’ membeli makanan selain tawaran juadah berbuka puasa secara bufet di hotel dan restoran.

Seorang peniaga air tebu yang dikenali sebagai Hasrin berkata, dia mengakui terdapat peningkatan harga bagi setiap batang tebu yang dijual oleh pihak peladang.

“Saya tidak ada spesifik berapa harga yang dijual pihak peladang kepada kami kerana abang saya menguruskan hal ini. Tetapi, terdapat peningkatan lima hingga 10 peratus harga tebu daripada pihak peladang,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Tinjauan Utusan Malaysia di Bazar Ramadan Stadium Shah Alam baru-baru ini mendapati kebanyakan makanan dan minuman mengalami peningkatan harga ketara berbanding tahun lalu di samping kuantiti yang dikurangkan.

Agak mengejutkan apabila rata-rata juadah dijual dengan harga meningkat lebih 20 peratus, sebagai contoh satu jag cendol dijual pada harga RM15 berbanding RM12 tahun lalu, martabak yang boleh didapati pada harga RM5 sebelum ini, kini dijual RM7 sekeping.

Selain itu menu yang terdiri daripada makanan berasaskan nasi ayam dan nasi lemak ayam dijual pada harga RM7 sementara nasi beriani pelbagai lauk seperti ayam, daging lembu atau kambing masing-masing dijual pada harga RM13, RM15 dan RM18 sebungkus.

Turut didapati berlaku pe­ningkatan harga adalah aneka kuih yang dijual antara 50 sen hingga 80 sen sekeping berbanding sekitar 30 sen dan 40 sen pada tahun lalu.

Bagi minuman pula, tiada lagi sebungkus minuman dijual pada harga di bawah RM2, kebanyakannya dijual bermula RM3 dan RM4 bagi bungkusan kecil, malah sebotol air tebu juga dijual sekitar RM7 hingga RM10, sementara air soya pula dijual RM6 sebungkus.

Dalam tinjauan sama, terdapat gerai-gerai dikesan tidak mempamerkan tanda harga bagi setiap menu yang dijual.

Seorang pengunjung dari Klang, Nur Juliana Ismail, 35, berkata, dia membayar lebih RM30 ketika berkunjung di bazar Ramadan bagi mendapatkan nasi beriani ayam, air tebu 1.5 liter dan sekeping martabak.

“Memang saya akui terdapat peningkatan harga pada beberapa makanan dan minuman di sini tetapi disebabkan ‘rasa teringin’, saya terpaksa pejam sahaja bila membayar.

“Apapun, saya harap tidak akan ada lagi peningkatan harga makanan dan minuman pada masa hadapan kerana harga sekarang ini pun dah mahal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya