Bekas pegawai bank didenda RM8,000 guna maklumat pelanggan buat kad kredit - Utusan Malaysia

Bekas pegawai bank didenda RM8,000 guna maklumat pelanggan buat kad kredit

LEONG Yew Hong (tengah) didenda RM8,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menipu majikannya dengan cara meluluskan kad kredit pelanggan bagi kegunaan sendiri ketika didakwa di Mahkamah Taiping hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Seorang bekas pegawai pemasaran bank didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu majikannya dengan cara meluluskan kad kredit pelanggan bagi kegunaan sendiri, November tahun lalu.

Tertuduh, Leong Yew Hong, 31, juga berdepan hukuman penjara lapan bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Hukuman itu dijatuhkan selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nur Atiqah Sapari.

Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit yang ketika itu merupakan pegawai pemasaran eksekutif di sebuah bank didakwa menipu majikannya dengan cara meluluskan kad kredit atas nama pelanggan.

Dia yang bertanggungjawab menguruskan permohonan dan kelulusan kad kredit melakukan kesalahan itu pada 27 November 2022.

Bagi pertuduhan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Amalina Harun manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Puteri Hikmatul Raudah Dzulaika Mohamad.

Menurut fakta kes, mangsa membuat aduan kepada pihak bank setelah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) menunjukkan terdapat kad kredit dikeluarkan atas namanya yang telah digunakan berjumlah RM8,564.40.

Siasatan lanjut yang dijalankan pengurus siasatan bank mendapati tertuduh mempunyai 17 kad kredit milik pelanggan lain setelah mendapatkan maklumat pelanggan sewaktu mengadakan promosi di sekitar Taiping.

Tertuduh melakukan permohonan dengan menggunakan kad pengenalan pelanggan serta mencetak maklumat kad pengenalan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka.

Media pada Selasa lalu melaporkan, seorang lelaki yang merupakan pegawai bank diberkas polis selepas disyaki menggunakan maklumat pelanggan untuk membuat permohonan kad kredit bagi kegunaan sendiri tanpa pengetahuan dan kebenaran.

Tindakan suspek itu mengakibatkan pihak bank mengalami kerugian RM563,422 ekoran daripada penggunaan 18 keping kad kredit yang telah diluluskan tanpa pengetahuan pelanggan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya