Bekas Ketua Polis Perak kini peguam - Utusan Malaysia

Bekas Ketua Polis Perak kini peguam

MIOR Faridalathrash Wahid (tengah) selepas prosiding untuk diterima sebagai peguam bela dan peguam cara di Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Bekas Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid antara enam orang yang diterima sebagai peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya, hari ini.

Penerimaan masuk Mior Faridalathrash, 61, itu disempurnakan melalui prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Wahab Mohamed.

Dalam prosiding itu, Mior Faridalathrash adalah pempetisyen paling kanan dari segi usia dan pengalaman yang diterima masuk dan didaftarkan sebagai peguam bela dan peguam cara.

Terdahulu, peguam pengusul Ahmad Yani Aminuddin membacakan petisyen Mior Faridalathrash bagi memperkenalkan latar belakangnya selaku pempetisyen.

Ahmad Yani dalam ucapan usul itu berkata, pempetisyen yang merupakan anak sulung daripada lapan beradik bagi pasangan Allahyarham Wahid Abdullah Sani dan Allahyarhamah Sharifah Iffat Habib Hassan itu menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai Inspektor Percubaan pada usia 20 tahun.

Menurut beliau, ketika berkhidmat dalam pasukan, pempetisyen telah melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Dengan Kepujian.

“Minat pempetisyen menuntut ilmu tidak terhenti dengan segulung ijazah, malah pada tahun 2012, beliau telah memperoleh Ijazah Sarjana dalam Undang-Undang Harta Intelek dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Berbekalkan ilmu di dada, pempetisyen kekal bersama PDRM selama 40 tahun sehinggalah beliau bersara pada tahun 2022 sebagai Ketua Polis Perak dengan pangkat Pesuruhjaya Polis,” katanya.

Menurut Ahmad Yani, tempoh 40 tahun dalam pasukan polis jelas menunjukkan minat pempetisyen dalam jurusan undang-undang bukanlah kerana ia suatu yang popular atau ‘glamour’.

Sebaliknya beliau berkata, pempetisyen berpendapat ia adalah satu disiplin yang membolehkannya mencerna kebolehan membuat taakulan dan menganalisis serta merencana idea yang kompleks.

“Pempetisyen telah membuat ketentuan dalam hidupnya dengan memulakan latihan dalam kamar di bawah bimbingan Tun Mohamad Ammar Aziz dari Tetuan Ammar Aziz & Co.,” katanya.

Petisyen untuk diterima masuk sebagai peguam bela dan peguam cara itu tidak mendapat bantahan daripada Jabatan Peguam Negara, Majlis Peguam dan Jawatankuasa Peguam Negeri Perak.

Tun Mohamad Ammar selaku pengajar kemudian menyarungkan jubah peguam kepada Mior Faridalathrash sebagai simbolik beliau kini adalah pegum bela dan peguam cara.

Sementara itu, Mior Faridalathrash yang ditemani isteri, Datin Nor Qhadijah Abdul Wahab ketika ditemui melahirkan rasa gembira dan syukur kerana cita-citanya untuk bergelar peguam tercapai.

Beliau berkata, berbekalkan pengalaman dalam pasukan polis dan pengetahuan dalam undang-undang, gabungan itu akan membantunya dalam mencari keadilan bagi pihak anak guam.

“Sebagai bekas pegawai polis dan sekarang menjadi peguam, mungkin ada yang beranggapan saya mahu ‘lawan’ balik pasukan.

“Sebenarnya bukan begitu, kita hanya mahu mencari keadilan untuk semua. Bila duduk dalam PDRM, kita bertindak untuk memastikan penugasan undang-undang dan penguatkuasaannya.

“Jadi, apabila beralih kepada bidang guaman, saya akan pastikan keadilan itu tercapai bila saya mewakili anak guam saya di mahkamah,” katanya yang akan memulakan tugas sebagai peguam di Tetuan Badrul, Samad, Faik & Co. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya