Bekalan telur ayam di Terengganu berkurangan 33 peratus - Utusan Malaysia

Bekalan telur ayam di Terengganu berkurangan 33 peratus

ANGGOTA penguat kuasa KPDN Terengganu memeriksa bekalan telur ayam di sebuah premis di Kuala Terengganu, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pengguna di Terengganu dijangka menghadapi kesukaran mendapatkan telur ayam di pasaran apabila bekalan yang dihantar di negeri ini berkurangan sebanyak 33 peratus pada Ramadan ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, bekalan harian telur ayam yang diterima ketika ini kira-kira 400,000 biji.

Menurutnya, jumlah itu tidak mencukupi berbanding bekalan 600,000 biji yang dihantar sebelum ini.

Katanya, keperluan harian bekalan telur ayam  penduduk Terengganu dianggarkan satu juta biji sebulan.

“Pihak pemborong telur ayam memaklumkan faktor utama berlakunya penurunan mendadak itu adalah kerana kekurangan bekalan yang diterima daripada pembekal iaitu pengusaha ladang.

“Kekurangan bekalan ini adalah disebabkan permintaan telur ayam yang semakin meningkat pada bulan Ramadan dan pihak ladang pula lebih mengutamakan pasaran setempat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, Saharuddin memberitahu, tiada penternakan ayam penelur di Terengganu dan  bekalan telur ayam diterima daripada pengusaha ladang di Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor, dan Perak.

Mengulas lanjut, tambahnya,  pembelian melebihi kadar biasa oleh pengguna, pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta peniaga bazar Ramadan juga menyebabkan premis tertentu kehabisan telur ayam lebih awal sebelum bekalan seterusnya diperolehi mengikut jadual ditetapkan.

Bagaimanapun, katanya, hasil pemeriksaan KPDN semalam pula mendapati daripada 13 pemborong telur ayam dan 39 peruncit terpilih di negeri ini, hanya satu pemborong dan satu peruncit sahaja yang kehabisan bekalan.

“Premis berkenaan sudah membuat tempahan dan peladang atau pemborong akan membuat edaran dalam masa terdekat. 

“KPDN Terengganu juga sentiasa menjalankan pemeriksaan berkaitan keberadaan bekalan telur ayam ke atas 160 peruncit terpilih daerah dan 74 pemborong terpilih daerah di seluruh negeri secara harian,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya