Bekalan air Kedah belum tahap krisis - Sanusi

Bekalan air Kedah belum tahap krisis – Sanusi

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Masalah bekalan air di Kedah tidak sampai ke tahap krisis meskipun terjejas, berikutan fenomena La Nina yang membawa kemarau berpanjangan di utara tanah air ketika ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, sumber air mentah di negeri ini juga tidak terjejas memandangkan takungan sedia ada mencukupi yang disahkan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) selaku pengendali empangan-empangan di negeri ini.

“Cumanya apabila musim kemarau, banyak pam di muka sauk tergantung berikutan paras air surut. Jadi kita perlu laksanakan kerja-kerja penyesuaian dengan menurunkan pam dan berharap agar isu ini dapat diatasi segera.

“Pada masa sama saya telah minta Syarikat Air Darul Aman (SADA) perbanyak penghantaran air menggunakan lori. Selain itu, Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) juga maklumkan bahawa di beberapa lokasi, telaga air boring yang pernah dibuat sebelum ini kini diaktifkan semula,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melepaskan larian sempena Sambutan Hari Air Sedunia 2023 anjuran LSANK bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri di dataran Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Semalam, SADA menerusi kenyataan memaklumkan, cuaca kering dan taburan hujan berkurangan sejak sebulan lalu, telah menyebabkan sumber air mentah yang diperolehi dari Gunung Jerai turut berkurang.

Ekoran itu, berlaku penurunan mendadak hingga 50 peratus pengeluaran air terawat di loji ‘Headworks’ iaitu di Loji Rawatan Air (LRA) Tupah, Merbok, Gurun dan Pulau Tuba di Langkawi.

Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, kebiasaannya kemarau berpanjangan itu sekiranya berlarutan hingga dua atau tiga bulan, akan membawa masalah kepada bekalan air.

“Boleh dikatakan, setiap tahun Kedah menghadapi situasi sama dan kita memiliki pelan kontingensi untuk mengatasinya. Menjelang Ramadan dan Syawal tak lama lagi, insya-Allah kita akan laksanakan yang terbaik. Tahun ini kita telah laksanakan persiapan lebih awal,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya