JERANTUT: Pengguna dijangka berdepan kesukaran memperoleh telur ayam menjelang Aidilfitri berikutan sudah ada tanda-tanda kekurangan bekalan itu di kedai runcit pinggir bandar, kampung dan Felda di daerah ini.
Difahamkan pada awal minggu ini, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membekalkan 90,000 biji telur ke daerah ini, tetapi difahamkan ia hanya cukup untuk tempoh seminggu memandangkan permintaan yang agak tinggi daripada peniaga makanan dan penduduk yang mula membuat persiapan hari raya tidak lama lagi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, peniaga kedai runcit di pinggir bandar Jerantut, Jariah Ibrahim, 72, berkata, dia cuma memperoleh bekalan antara 10 hingga 15 papan telur setiap minggu daripada pemborong untuk menampung pembelian pengguna kawasan itu.
“Walaupun bekalan ada, tetapi nampak kian berkurangan dan tidak mencukupi kerana permintaan penduduk terlalu tinggi, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan dan menjelang Aidilfitri.
“Saya sememangnya ingin banyak telur ayam dijual di sini, tetapi pemborong cuma membekalkan dalam jumlah tersebut memandangkan peruncit lain pun memerlukan bekalan yang sama,” katanya di sini semalam.
Menurut Jariah, dia cuma menjual telur ayam gred A dengan harga RM17 satu papan dan kebiasaannya habis dalam tempoh dua hari, kemudiannya terpaksa menunggu bekalan baru daripada pemborong.
Seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Mear berkata, dia juga mengakui bekalan telur ayam semakin berkurangan ketika ini.
“Saya juga hairan, berikutan kekurangan tersebut sebelum ini kerajaan menerusi beberapa agensi pernah menguar-uarkan di media untuk menternak ayam daging serta menghasilkan telur di beberapa tempat di negeri ini yang boleh menampung permintaan pengguna, tetapi nampaknya keadaan (bekalan telur) masih di takuk lama,” katanya.
Jelasnya, jika projek tersebut belum direalisasikan sudah tentu rakyat berdepan masalah barang keperluan dapur dan kerap kali berlaku ketiadaan bekalan khususnya ketika musim perayaan.
Sementara itu tinjauan Utusan Malaysia mendapati, keperluan dapur seperti minyak masak dan ayam masih banyak dijual di pasar besar dan semua pasar raya bandar Jerantut dan pengguna tidak berdepan masalah berbelanja. – UTUSAN