KUALA LUMPUR: Beberapa nama pengarah di Jabatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) disebut-sebut bakal mengisi jawatan Timbalan Ketua Polis Negara yang bakal dikosongkan Tan Sri Razarudin Hussain.
Beliau akan bersara wajib pada 14 Mac ini.
Antara nama disebut-disebut adalah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamaruddin Md. Din dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Hazani Ghazali.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber berkata, kedua-dua nama tersebut disebut sebagai calon berdasarkan perjawatan (seniority) dan kelayakan mereka bagi memegang jawatan tertinggi kedua dalam pasukan tersebut.
Kata sumber, kedua-dua pegawai kanan itu berkelayakan memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Polis Negara kerana mempunyai latar belakang luas dalam kepolisan.
“Hazani sebelum pernah berkhidmat selama beberapa tahun di Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah sebelum bertukar ke Bukit Aman dan kembali semula ke Sabah sebagai Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dan Pesuruhjaya Polis Sabah sebelum dilantik sebagai Pengarah KDNKA.
“Selain itu, Mohd. Kamaruddin juga dilihat mempunyai potensi dengan pengalaman lebih 30 tahun terutamanya berkaitan jenayah komersial apabila pernah memegang jawatan Timbalan Pengarah (Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia) JSJK sebelum ke Kontinjen Johor sebagai Timbalan dan Ketua Polis Johor,” katanya di sini hari ini.
Walau bagaimanapun, beberapa pengarah lain dilihat layak memegang jawatan tersebut antaranya Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM (JIPS), Datuk Seri Azri Ahmad.
“Bagaimanapun bergantung kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) bagi memilih calon-calon disenarai pendek,” jelasnya.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, SPP akan mengadakan satu mesyuarat khas bagi menentukan calon-calon berpotensi menggantikan Razarudin.
Katanya, terdapat beberapa calon layak diberi pertimbangan bagi mengisi kekosongan jawatan tersebut.
“Justeru apapun pemilihan dan penentuan akan dilakukan melalui mesyuarat suruhanjaya pasukan polis yang akan diadakan tidak berapa lama lagi, kita tunggu apakah yang akan diumumkan SPP yang akan bermesyuarat nanti,” katanya.
Pengarah Jabatan Pengurusan, Datuk Seri Zaini Jass akan bersara wajib pada 9 Mac ini diikuti Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain pada 14 Mac.
Selain itu, persaraan itu diikuti oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan pada 16 April. – UTUSAN