Barisan Exco Melaka dibentuk dalam tempoh 48 jam

Barisan Exco Melaka dibentuk dalam tempoh 48 jam

AB. RAUF Yusoh dalam sidang akhbar selepas Istiadat Pengurniaan Suratcara Perlantikan dan Angkat Sumpah Jawatan Ketua Menteri Melaka Ke-13 di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka yang baharu akan dilantik dalam tempoh 48 jam, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Beliau berkata, kesemua Exco terdahulu di bawah kepemimpinan Datuk Seri Sulaiman Md. Ali terbubar secara automatik selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu melepaskan jawatannya.

Katanya lagi, komposisi parti politik yang akan dipilih sama ada turut melibatkan ADUN Pakatan Harapan (PH) masih belum diputuskan kerana perlu mendapat pandangan daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi terlebih dahulu.

“Saya kini sedang dalam pertimbangan untuk melantik Exco baharu dan akan diputuskan dalam tempoh 48 jam. Kekosongan jawatan ini tidak boleh dibiarkan terlalu lama kerana negeri (pentadbiran) perlu berjalan.

“Buat masa ini  saya tidak mendapat panduan lagi (komposisi) barisan Exco yang akan dibentuk dan akan merujuk kepada Presiden saya dahulu apakah hala tujunya. Saya akan mengambil petua tersebut untuk merangka Exco kerajaan negeri.

“Exco akan kekal 10 orang. Sama ada Exco sebelum ini akan dilantik semula bergantung kepada ilham saya,” katanya dalam sidang akhbar selepas Istiadat Pengurniaan Suratcara Perlantikan dan Angkat Sumpah Jawatan Ketua Menteri Melaka Ke-13 di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Ab. Rauf mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13 di Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka, Seri Negeri kira-kira pukul 3.33 petang tadi.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia dilakukan di hadapan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam di Dewan Seri Utama.

Turut hadir isteri Mohd. Ali, Toh Puan Asmah Abd. Rahman; bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Ibrahim Durum; isteri Ab. Rauf, Datin Seri Zuriyah Ab. Aziz dan barisan ADUN. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya