Banyak hati yang saya perlu jaga - Utusan Malaysia

Banyak hati yang saya perlu jaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BICARANYA cukup santun dan ada kelembutan yang menenangkan. Lontarkan soalan apa sahaja, pengalaman dan kematangannya menjadikan pelakon ini cukup senang untuk ditemuramah.

Mira Filzah, satu jenama yang cukup besar dalam dunia seni tanah air. Barisan trofi populariti sudah diraih, bakat juga tiada yang mahu mempertikai. Dia sentiasa menjadi inspirasi baik buat peminat semua.

Namun sesekali terlintas di fikiran, adakah imejnya yang terlalu baik itu menjadi beban untuk dia melangkah? Tidakkah itu satu tanggungjawab besar untuk dia pikul sementelah manusia ini, tiada yang sempurna.

Tenang memberi pandangan, bagi Mira, setiap tanggapan yang baik itu adalah satu doa untuknya untuk terus berusaha menjadi seorang manusia, anak, isteri dan ibu yang lebih baik hari demi hari.

Namun dia juga berharap agar peminat tidak terlalu meletakkan harapan terlalu tinggi kerana dia seorang manusia biasa, yang sama sekali seorang pendosa dan ada aib yang dijaga Tuhan.

“Saya seorang manusia biasa, yang tak boleh lari daripada melakukan kesilapan. Cuma Allah jaga aib saya. Saya terima pujian dan tanggapan saya terlalu baik, itu satu doa yang memberi semangat.

“Tetapi sejujur­nya, ada ketakutan jika peminat menjadikan saya sebagai satu benchmark yang terlalu tinggi untuk saya sendiri gapai. Saya insan biasa yang jauh dari kesempurnaan.

“Sebagai seorang anak seni, apa yang saya mahu potretkan adalah perkara dan sikap yang baik-baik sahaja. Ada yang menjadikan kita sebagai rujukan dan idola. Saya mahu jadi tauladan yang baik untuk peminat,” katanya.

Lantas adakah itu menjadi asbab dia lebih senang bernafas dalam ‘rumahnya’ sendiri, kekal menjaga privasi agar tiada yang cuba ceroboh? Mengelak daripada sebarang kontroversi negatif?

“Iya benar sekali. Status saya juga sudah berubah. Sebelum ini solo, kemudian seorang isteri dan sekarang, ibu kepada Wan Khair Amir. Saya lebih selesa kekal privasi dan lebih berhati-hati.

“Banyak hati yang perlu saya jaga.  Saya mahu jadi isteri dan ibu terbaik. Perlu lebih berjaga-jaga supaya apa sahaja yang saya lakukan, tidak memberi tempias negatif kepada keluarga,” katanya.

Perancangan keluarga, anak

Tenang menghirup nafas bahagia bersama suami, Wan Emir Astar, bagi pelakon berusia 30 tahun itu, keutamaannya sekarang adalah imamnya dan anak. Dia sentiasa meletakkan dua insan terpenting itu dalam setiap keputusan.

Banyak perubahan yang berlegar dalam ruang kehidupannya sekarang. Dia juga masih menye­suaikan diri dengan rentak baharu hidupnya apatah lagi sudah kembali aktif dalam dunia hiburan.

“Dahulu banyak perkara lain yang saya utamakan tetapi sekarang suami dan anak menjadi fokus utama. Apa sahaja yang saya lakukan, pergi balik kerja lewat macam mana pun, saya pastikan ada masa untuk Amir.

“Saya tanam niat dalam hati, semua ini adalah untuk Allah dan Amir.  Suami juga sangat terbuka saya kembali berlakon selepas lebih setahun brehat. Dia tidak meletakkan apa-apa syarat.

“Apa yang saya pilih dan lakukan, adalah atas kehendak diri sendiri. Saya sedar tanggungjawab dan nilai keprihatinan yang perlu sentiasa dijaga sebagai seorang isteri serta ibu,” ujar pelakon filem Sangkar itu.

Ditanya tentang perancangan menambah zuriat kedua, Mira tergelak kecil lantas menjawab;

“Perancangan itu memang ada tetapi bukan dalam masa terdekat, Buat waktu sekarang, saya dan suami mahu fokus Amir dahulu. Saya nak beri sepenuh perhatian buat anak kecil berusia setahun itu.

“Sekarang pun sama masih menyesuaikan diri dengan keadaan bekerja di set penggambaran dan pada masa sama, balik rumah bermain dengan anak. Masih dalam fasa menyusun itu.

“Sekarang tiada istilah lepak. Jarang sangat. Habis kerja pulang terus ke rumah, melayan Amir. Memang banyak meluangkan masa dengan dia. Saya mahu lihat dia membesar dengan mata sendiri,” katanya.

Mengejar yang terbaik

“Sepanjang kerjaya saya, semua anugerah yang diterima adalah berdasarkan populariti. Alhamdulillah, saya bersyukur. Tetapi kini, saya berazam untuk meraih gelaran terbaik pula.”

Itu jawapan anak kelahiran Ipoh, Perak ini tatkala ditanya apa lagi yang mahu dikejarnya? Populariti sudah kemas digenggam lantas, gelaran terbaik pulakah yang menjadi impian dan iltizamnya.

“Sejujurnya, saya mengimpikan watak berat, yang menguji kematangan lakonan saya selepas lebih sedekad dalam dunia seni. 

“Untuk meraih trofi terbaik, saya berharap agar penerbit dan pengarah memberi peluang untuk saya terus membuktikan bakat dengan naskhah yang lebih berat,” ujar Bintang Paling Popular 2019 itu.

Diajukan soalan tentang perkembangan kerjaya seninya, Mira berkata, dia ketika ini sedang sibuk di set penggambaran drama baharu popular, Imam Instant Ustazah Scammer Terbitan Zeel Production.

“Ini drama pertama saya selepas setahun lebih berehat. Seronok dapat kembali berlakon terutama dengan produksi, rakan pelakon dan kru yang sentiasa membantu.

“Tahun ini juga membuka lembaran baharu apabila saya diberi kepercayaan untuk menjadi duta kepada beberapa jenama dalam dan luar negara. 

“Ini semua adalah rezeki anak dan keluarga saya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya