PUTRAJAYA: Etika tata kelola baik terutama dalam menentang penyalahgunaan rasuah adalah satu tuntutan Islam dalam tadbir urus negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagaimanapun soal tersebut seolah-olah diremehkan oleh pihak-pihak tertentu termasuk ‘mengizinkan’ rasuah jika ia dikategorikan sebagai sedekah.
Beliau menegaskan, pandangan seumpama itu amat mengelirukan sedangkan perbuatan buruk rasuah tidak ada kesamaran.
“Maknanya tidak boleh kelirukan (rasuah), ia tidak samar dan patut jelas untuk kelangsungan kita menyelamatkan negara serta menaikkan imej umat Islam kena mula dengan sikap yang jelas tentang tata kelola baik.
“Semua boleh berpuasa tapi kalau tak mampu lahirkan umat yang baik, maka ia tidak ada signifikan Ramadan. Selama 45 tahun tidak pernah tinggal puasa, umrah tiap tahun tak pernah terlepas, tetapi curi duit rakyat, hak orang miskin terabai, maknanya penghayatan tidak ada,” katanya ketika berucap dalam program Ihya Ramadan di Kementerian Kewangan, di sini hari ini.
Anwar berkata, ada pihak begitu lantang bercakap mengenai Islam dan menegakkan agama, tetapi pengamalan yang bertentangan Islam boleh dikompromi.
“Saya panas sikit bincang rasuah. Saya fikir jadi ketua ini orang marah kalau terlibat rasuah, tetapi orang marah sebab nak lawan rasuah. Saya tak faham.
“Sepatutnya umat lebih tegas apabila melibatkan soal ini (rasuah). Tetapi ada juga seolah-olah keliru, derma kepada parti boleh dan tak salah, ini betul, namun kalau bagi kontrak kepada syarikat A dan syarikat A bagi kepada parti yang jadi syarat kepada peribadi atau parti, ini ada kepentingan tertentu,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar menggesa semua jabatan, agensi dan kementerian untuk mengadakan program Ihya Ramadan secara serius sekali pun ia memerlukan satu surat pekeliling khas dikeluarkan bagi tujuan itu.
Katanya, program berbentuk tazkirah Ramadan, mencadangkan tajuk-tajuk bersesuaian dan beberapa risalah boleh diterbitkan supaya semua dapat membaca, amal dan menghayati selain al-Quran. – UTUSAN