Banjir; Petugas JKM diarah siap sedia - Utusan Malaysia

Banjir; Petugas JKM diarah siap sedia

KEADAAN banjir di Sri Medan, Batu Pahat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

TASEK GELUGOR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengarahkan kesemua petugas mereka supaya bersiap sedia sepanjang masa untuk membantu pengurusan mangsa banjir mengikut keperluan dan keadaan semasa.

Menurut KPWKM dalam satu kenyataan, arahan itu turut melibatkan petugas JKM yang berada di negeri yang tidak dilanda banjir.

Pada masa sama, katanya, JKM akan memantau secara terus perkembangan semasa situasi banjir di semua negeri.

Di Johor, ujarnya, seramai 950 petugas JKM dengan dibantu 600 orang sukarelawan lain terlibat dalam menguruskan mangsa banjir.

“Dari segi mobilisasi pula, ada kakitangan dari negeri lain yang telah digerakkan ke situ termasuk dari ibu pejabat, Melaka serta Negeri Sembilan dan JKM juga telah memohon bantuan daripada Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) Johor serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Johor untuk tujuan itu.

“Semua mangsa dan petugas di pusat pemindahan sementara (PPS) juga diingatkan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sepanjang bencana tersebut,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, kenyataan itu turut memaklumkan setakat pukul 10 pagi ini, sebanyak 299 buah PPS telah dibuka di seluruh negara melibatkan lima negeri iaitu Johor (266); Pahang (23); Melaka (5) dan Selangor serta Negeri Sembilan masing-masing sebanyak dua dan tiga PPS.

Katanya, secara keseluruhan, seramai 46,230 mangsa daripada 13,362 keluarga terlibat dalam bencana banjir itu ketika ini dan semua keperluan makan, minum serta keperluan asas juga telah dibekalkan kepada mangsa.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, semua syarikat korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu dimohon agar dapat menghulurkan bantuan serta sumbangan yang amat diperlukan oleh mangsa-mangsa banjir menerusi Yayasan Kebajikan Negara (YKN) ke akaun Alliance Bank Berhad di nombor 160140010004801.

Tambah kenyataan itu, Bilik Gerakan JKM Johor boleh dihubungi melalui talian 07-228 1453 manakala Bilik Gerakan JKM di negeri-negeri lain akan diaktifkan mengikut keperluan dan keadaan banjir semasa.

“Orang ramai juga boleh menghubungi Talian Kasih 15999 yang beroperasi 24 jam sekiranya perlu dan maklumat terkini mengenai PPS di seluruh negara juga boleh diakses melalui aplikasi InfoBencanaJKM 2.0 yang boleh dimuat turun melalui Apps Store dan Play Store,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya