MELAKA: Seorang banduan Penjara Sungai Udang didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan menyebabkan kematian banduan warga asing, bulan lalu.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan tertuduh berusia 34 tahun yang hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mazana Sinin.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh dengan sengaja telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian seorang lelaki warga Indonesia, Paidi Binat Moksukar.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 2.15 petang di Bilik No. 48, Tingkat 1, Zon A, Blok Cekal Kompleks Penjara Sungai Udang dalam daerah Melaka Tengah pada 17 Februari lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, J. Banusha manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 29 Mei depan untuk sebutan semula kes dan serahan laporan bedah siasat.
Pada 24 Februari lalu, Utusan Malaysia melaporkan, gara-gara tidak dapat makan roti, seorang banduan di Penjara Sungai Udang bertindak ganas membelasah rakan selnya hingga mati
Mangsa, warga Indonesia berusia 47 tahun disahkan meninggal dunia selepas tujuh hari menerima rawatan di Hospital Melaka.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pergaduhan berlaku pada pukul 2.15 petang 17 Februari lalu, selepas suspek yang berusia 34 tahun mengesyaki mangsa mengambil roti diberikan pihak penjara. – UTUSAN