KUALA LUMPUR: Balu kepada Allahyarham Asisten Superintenden Zulkifli Mamat, pegawai polis yang terkorban dalam tragedi berdarah Kampung Tanduo, Lahad Datu, berharap kerajaan dapat mempertimbang bantuan pendidikan buat tiga anaknya sehingga ke peringkat universiti.
Nooraziah Noor, 38, mendakwa sebelum ini, ada pihak, termasuk agensi kerajaan menjanjikan bantuan pendidikan dari peringkat sekolah rendah hingga ke pengajian tinggi kepada anaknya, namun ia tidak ditunaikan biarpun tragedi itu sudah hampir 10 tahun berlalu.
Katanya, meskipun kehidupan mereka sekeluarga mencukupi, beliau masih mengharapkan janji tajaan pendidikan yang disuarakan oleh pihak tertentu.
“Alhamdulillah, kami sekeluarga sudah reda dengan tragedi yang berlaku dan ketiga-tiga anak saya juga semuanya dalam keadaan sihat. Cuma apa yang penting hari ini adalah soal pembelajaran mereka.
“Saya mengharapkan kerajaan membantu dari segi pembelajaran dan sekiranya boleh, tiga anak saya ini mendapat tajaan untuk meneruskan pengajian di peringkat sekolah menengah hingga universiti,” katanya ketika ditemui selepas Istiadat Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-216 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) hari ini.
Terdahulu, tiga anaknya iaitu Noorakmal Amiruddin Zulkifli, 15; Noor Muhammad Aqil, 11, dan Noor Aqib Syahid, 10, menyentuh hati hadirin, termasuk Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika berlakon bersama lebih 80 anggota polis lain dalam pantomim tragedi Kampung Tanduo.
Zulkifli dan Sarjan Sabarudin Daud menjadi korban pertama tragedi di Lahad Datu pada 2013, selepas pertempuran antara pasukan keselamatan dengan kumpulan penceroboh di Kampung Tanduo.
Nooraziah yang juga seorang guru di sebuah sekolah di Perlis berkata, beliau bersikap terbuka jika anaknya mahu mengikuti jejak langkah suaminya menjadi anggota polis.
“Saya akui anak-anak saya mempunyai minat ke arah itu dan tidak akan menghalang sekiranya mereka mahu meneruskan kerjaya arwah ayahnya. Tetapi, mereka mestilah betul-betul mempunyai minat kerana ia bukan kerjaya yang mudah,” jelasnya.
Sementara itu, anak sulung arwah, Noorakmal berkata, dia dan dua adiknya begitu berbangga dapat menyarung uniform 69 Komando seperti arwah bapanya.
“Walaupun sedih dan sayu, saya berbangga terbabit dalam persembahan pantomim bersama anggota polis lain untuk memperingati ayah dan rakannya yang terkorban.
“Antara pesanan ayah yang paling saya ingati adalah untuk menjaga ibu dan adik ketika ayah keluar bekerja meskipun saya hanya berusia lima tahun ketika itu,” katanya. – UTUSAN