Baiki tempoh respon agensi kerajaan elak kesulitan rakyat - Ramanan

Baiki tempoh respon agensi kerajaan elak kesulitan rakyat – Ramanan

R. RAMANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian dan agensi-agensi kerajaan wajar menjalankan amanah dengan baik dalam pengurusan peruntukan masing-masing menerusi Belanjawan 2023 yang dibentangkan baru-baru ini.

Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk R. Ramanan berkata, beliau khuatir sekiranya mesej pemahaman tadbir urus yang baik tidak sampai kepada rakyat, perbincangan keputusan membangunkan keperluan kritikal bagi setiap kawasan bukan lagi semata-mata mengikut budi bicara ahli Parlimen.

“Contohnya, di Parlimen Sungai Buloh apabila satu aduan berkenaan isu trafik atau penyelenggaraan jalan raya yang dibuat, seringkali halangan pertama adalah dalam rujukan kepada bidang kuasa dahulu.

“Dalam parlimen Sungai Buloh ada empat pihak berkuasa tempatan dan tiga pejabat daerah, belum termasuk lagi persempadanan dengan kawasan Parlimen lain atau agensi kerajaan yang bertanggungjawab.

“Tempoh respons setelah mengenal pasti bidang kuasa agensi kadangkala boleh mengakibatkan kesulitan lanjut kepada rakyat. Namun, saya percaya komitmen kerjasama dapat dilakukan secara optimal, selagi komunikasi antara agensi-agensi kerajaan dan ahli politik lebih terbuka dengan azam yang sama iaitu telus dalam menjalankan amanat demi rakyat,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 peringkat dasar di Dewan Rakyat semalam.

Mengulas lanjut, katanya, penaiktarafan sistem tol bertaraf dunia adalah wajar dan bukan lagi sistem yang memanfaatkan kroni sama ada anak sendiri atau pun menantu.

Katanya, jumlah kenderaan yang kian bertambah hanya akan menyumbang kepada kesesakan jalan raya seperti jaringan jalan raya yang tidak lancar bersama sistem tol tidak mampan.

“Saya pernah bangkitkan mengenai penyelenggaraan jalan raya yang sering menjadi isu utama di Parlimen Sungai Buloh, ia melibatkan keselamatan pengguna motosikal kerana jalan yang tidak diturap, atau diselenggara dengan baik boleh mengakibatkan kecelakaan.

“Mereka yang bekerja sebagai rider tidak cukup terpaksa mengharungi cabaran cuaca, kini perlu memikirkan keselamatan mereka, walhal ini adalah tanggungjawab kita sebagai kerajaan dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat Madani,” katanya.

Kata Ramanan, penyelesaian jangka masa panjang juga harus dibuat melalui satu perancangan sistem pengangkutan awam melibatkan KTM, LRT dan MRT.

“Dalam Parlimen Sungai Buloh ada satu kawasan perumahan, Saujana Utama yang jarak dengan stesen MRT agak jauh, maka tidak dapat dimanfaatkan rakyat sepenuhnya.

“Sering kali kita lihat baris-baris kenderaan di bahu jalan stesen-stesen kerana parkir tidak mencukupi ataupun bagi penjimatan kos parkir. Kita mesti kembali kepada asas bagaimana untuk memperbaiki sistem pengangkutan sebagai cara yang munasabah bagi masyarakat Madani,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya