PETALING JAYA: Pakar perubatan di sebuah hospital di Singapura tidak menolak kemungkinan bahagian otak pelakon, Kamal Adli mengalami kecederaan akibat hentakan bertubi-tubi sehingga berlaku pendarahan teruk.
Pakar yang dikenali sebagai Dr. Syed Muhammad berkata, gangguan itu menyebabkan mangsa menjadi lemah dan terus rebah.
Jelasnya, pasukan perubatan terpaksa mengambil keputusan untuk menidurkannya sebelum menjalani pembedahan besar.
“Kami berusaha sedaya-upaya untuk menyelamatkannya dan memantau sebarang petanda penting,” katanya menerusi tangkap layar yang dikongsikan dalam Instagram isteri mangsa, Uqasha Senrose.
Sebarang perkembangan terkini mengenai Kamal akan dikongsikan oleh rakan selebriti, Roslan Shah yang turut berada di sana semasa acara ekspo berlangsung di Singapura.
Terdahulu, Kamal diserang secara tiba-tiba oleh seorang individu menggunakan cota besi bertubi-tubi sehingga menyebabkan Kamal mengalami pendarahan teruk yang berpunca dari lubang besar di bahagian dalam kepalanya.
Uqasha berkata, lelaki yang melakukan serangan itu adalah seorang warga Singapura yang masih siuman.