Anwar tiba di Beijing

Anwar tiba di Beijing

ANWAR Ibrahim tiba di Beijing bagi meneruskan lawatan ke China. - FB ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan lawatan ke China dengan tiba di Beijing yang merupakan bandar kedua terbesar negara itu selepas Shanghai.

Anwar yang berlepas dari Hainan selepas menghadiri Forum Boao Untuk Persidangan Tahunan Asia 2023 (BFA 2023) tiba dengan menaiki sebuah pesawat dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing Capital pada pukul 4.28 petang.

Dalam lawatan itu, Anwar akan bertemu Presiden China, Xi Jinping yang baru dilantik semula bagi penggal ketiga.

Menurut kenyataan Wisma Putra, ini juga merupakan kunjungan sulung Anwar ke China sejak menyandang ketua kerajaan Malaysia ke-10 dan turut menjadi pemimpin luar pertama berjumpa Perdana Menteri China, Li Qiang.

Wisma Putra memaklumkan, lawatan Anwar bermula hari ini sehingga Sabtu ini juga diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan pegawai kanan kerajaan membincangkan pelbagai isu strategik dengan Jinping termasuk pengukuhan hubungan dua hala pasca wabak Covid-19.

Anwar juga akan menerima kunjungan hormat Pengerusi Kongres Nasional Rakyat, Zhao Leji yang bakal menyentuh usaha pengukuhan peranan parlimen kedua-dua negara itu.

Seterusnya, Perdana Menteri bertemu rakan sejawatnya yang akan memberi peluang bagi membincangkan kerjasama pragmatik dan merangkumi banyak bidang berkepentingan termasuklah perdagangan dan pelaburan, teknologi tinggi, ekonomi digital, pengajian tinggi, pemulihan pasca pandemik dan aspek keterjaminan makanan.

Kata Wisma Putra, Anwar dan Qiang dijadualkan menyaksikan sesi pemeteraian beberapa memorandum persefahaman dalam bidang pertanian dan juga perdagangan.

“Perdana Menteri turut menyampaikan syarahan di Universiti Tsinghua, Beijing, sebuah institusi pengajian tinggi awam tersohor China yang diasaskan pada 1911 lalu,” jelas Wisma Putra.

Secara kebetulan, lawatan bersejarah itu diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-10 pemeteraian Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia dan China.

Malahan sejak 2009, China ialah rakan dagangan global terbesar Malaysia dan tahun lalu, nilai perdagangan mencecah RM487 bilion iaitu peningkatan 15 peratus daripada 2021. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya