KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan saman fitnah terhadap Datuk Awang Solahuddin Hashim berhubung kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Pendang itu di lobi Parlimen, dua minggu lalu.
Saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi di sini kira-kira pukul 12.06 tengah hari, hari ini melalui firma guaman, Tetuan S.N. Nair & Partners.
Menurut penyataan tuntutan yang difailkan, Anwar selaku plaintif menyatakan Awang Solahuddin yang dinamakan sebagai defendan telah mengeluarkan beberapa kenyataan berbaur fitnah pada 21 Februari lalu di lobi Dewan Rakyat, bangunan Parlimen di sini.
Kenyataan itu dibuat sewaktu disoal oleh wartawan semasa Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 sedang berlangsung.
Plaintif menyatakan kenyataan berbaur fitnah itu yang dirakam dalam bentuk audio dan video telah diterbitkan semula oleh Awang Solahuddin di aplikasi TikTok melalui akaun di bawah nama “@asriasri64chanel”.
“Video yang diterbitkan dalam akaun TikTok itu telah mendapat tontonan melebihi 21,700 kali, 348 komen, melebihi 180 butang ‘like’, melebihi 22 butang ’favourite’, dan 55 kali perkongsian setakat tarikh pemfailan tindakan ini,” menurut Anwar dalam pernyataan tuntutan itu.
Tambah Ahli Parlimen Tambun itu, kenyataan berbaur fitnah itu turut diterbitkan semula oleh portal berita Malaysiakini pada hari yang sama menerusi dua artikel bertajuk ‘MP PAS: Sikap pendendam Anwar lebih teruk daripada Mahathir’ manakala dalam versi Bahasa Inggeris, bertajuk “Why no LCS charges, MP asks ‘more vindictive than Mahathir’ PM’.
Plaintif mendakwa kenyataan berbair fitnah itu antara lainnya menunjukkan Anwar mempunyai sifat pendendam serta membalas dendam, telah menyalahgunakan kuasa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dengan mencampuri, mengganggu serta sewenang-wenangnya mengarahkan agensi penguatkuasaan undang-undang dan pendakwaan di Malaysia untuk agenda politik peribadi.
Ahli Parlimen Tambun itu berkata pada hari sama (21 Feb) portal MalaysiaKini menerbitkan semula sebahagian kenyataan fitnah daripada audio dan video tersebut menerusi dua artikel bertajuk ‘MP PAS: Sikap pendendam Anwar lebih teruk daripada Mahathir’ manakala dalam versi Bahasa Inggeris, bertajuk “Why no LCS charges, MP asks ‘more vindictive than Mahathir’ PM’.
Menurut Anwar, kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud beliau mempunyai sifat pendendam, telah menyalahgunakan kuasa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dengan mencampuri, mengganggu serta sewenang-wenangnya mengarahkan agensi penguatkuasaan undang-undang dan pendakwaan di Malaysia untuk agenda politik peribadi.
Sehubungan itu, plaintif mendakwa kenyataan yang dibuat defendan telah memudaratkan dan mencederakan imej dan reputasi Anwar sebagai Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Ahli Parlimen Tambun dan kini sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 dan Menteri Kewangan Malaysia.
Anwar juga mendakwa kenyataan berbaur fitnah itu tidak tidak berasas, palsu dan mempunyai niat jahat.
Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, teruk, teladan, ganti rugi pampasan yang tidak dinyatakan jumlahnya.
Anwar turut memohon ialah perintah injunksi bagi menghalang defendan, ejen, atau wakilnya daripada terus menerbitkan atau mengedarkan kenyataan fitnah serupa.
Turut dimohon ialah relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah. – UTUSAN