PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan delegasi diberi penghormatan oleh Kerajaan Arab Saudi untuk menziarahi Raudhah dan makam Nabi Muhammad SAW.
Menurut Anwar, beliau bersama isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta delegasi terdahulu ke Madinah untuk majlis berbuka puasa bersama pelajar Malaysia yang menuntut di situ.
“Kami kemudian menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih di Masjid Nabawi. Alhamdulillah, saya dan delegasi juga diberi penghormatan oleh kerajaan Arab Saudi untuk menziarahi Raudhah dan Makam baginda Nabi Muhammad SAW,” kongsinya.
Terdahulu, Anwar memulakan lawatan rasmi sulung ke negara Timur Tengah itu selama tiga hari sejak tiba di sana pada Rabu lepas.
Selain isteri, Perdana Menteri turut diiringi Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dalam lawatan tersebut.
Ia juga merupakan lawatan rasmi negara luar ASEAN pertama Anwar selepas dilantik menjadi Perdana Menteri pada 24 November tahun lepas. -utusan