Anwar alu-alukan Inisiatif Jalur Sutra Baru

Anwar alu-alukan Inisiatif Jalur Sutra Baru

ANWAR Ibrahim menyampaikan syarahan umum di Universiti Tsinghua, Beijing. - FOTO/FB PM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan inisiatif Presiden China, Xi Jinping untuk berkongsi kekayaan dan pembangunan melalui Inisiatif Jalur Sutra Baru (BRI).

Perdana Menteri berkata, China kini di depan dan sedang melakukan yang terbaik berbanding negara-negara di Eropah dalam mendepani tantangan dunia hari ini terutamanya dalam hal perubahan iklim.

Jelasnya, perkara itu yang cuba diterjemah Presiden Xi Jinping tatkala beliau berbicara mengenai kemanusiaan dan peradaban.

“Pemimpin dan negara mesti bergerak ke depan mendepani ‘creative destruction’ dan tidak boleh kita teruskan etika yang lama dan usang untuk mempaculkan sistem dan budaya baharu,” katanya ketika menyampaikan syarahan umum di Universiti Tsinghua, Beijing yang merupakan salah satu universiti tersohor di China.

Dalam syarahan itu, Anwar juga menyebut mengenai hubungan akrab antara Malaysia dan China dengan memetik kisah pengembaraan Laksamana Cheng Ho ke Melaka pada 1453. 

“Itu adalah ‘encounter’ pertama kita dengan China,” jelasnya.

Perdana Menteri kemudian turut menyentuh mengenai keadaan semasa berhubung geopolitik dan diplomasi antarabangsa di mana era penjajahan, imperialisme, mahupun neo-imperialisme telah berakhir. 

“Tidak ada mana-mana negara, adikuasa terutamanya, mempunyai hak atau kuasa untuk membidak catur mana-mana negara. 

“Di akhir ucapan saya titipkan pesan kepada anak-anak mahasiswa di sini untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajaran dan pelajari serta garap sejarah seperti Confucius di mana beliau tidak membawa mesej-mesej berbaur ‘parocialism’ tetapi kemanusiaan dan kasih sayang.

“Mesej yang sama ditekankan oleh al-Quran untuk saling kenal dan memahami antara satu dengan yang lain, bukan mencari jalan untuk membenci dan mencipta perbalahan,” kongsinya menerusi satu hantaran Facebook.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong memaklumkan, Anwar dan delegasi mengadakan kunjungan hormat Pengerusi Majlis Universiti Tsinghua, Prof Qiu Yong.

Beliau yang juga menyertai kunjungan itu memaklumkan seramai 290 rakyat Malaysia menuntut di universiti berkenaan untuk peringkat ijazah dan siswazah.

Sementara itu, Anwar dijadualkan menemui Xi Jinping di Great Hall, Beijing pada pukul 4.50 petang ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya