KEMENANGAN pelakon, Merqeen dan Anna Jobling untuk anugerah Pasangan Drama Terbaik menerusi drama Melur Untuk Firdaus sempena Anugerah Drama Sangat yang berlangsung baru-baru ini mencetuskan pelbagai reaksi peminat drama Melayu di negara ini.
Selain yang menyambut baik, wujud juga mereka yang tidak senang dan tidak berpuas hati dengan kemenangan tersebut selain mempersoalkan pemilihan pasangan pelakon itu sebagai penerima trofi berkenaan.
Dalam satu wawancara, Anna menjelaskan kemenangan mereka pada malam itu adalah rezeki yang ditentukan Tuhan.
Katanya, dia tidak mampu menutup mulut haters yang sentiasa kurang senang dengan kejayaan orang lain.
“Saya sudah mula abaikan komen negatif yang dilayangkan netizen kerana apa juga tindakan saya, yang positif dan negatif, tetap akan menjadi bahan bualan masyarakat.
“Kadang, komen negatif netizen agak melampau, tapi saya ambil pendekatan untuk tidak melayan.
“Bagi saya, semua itu telah ditentukan oleh Allah S.W.T. Rezeki tidak salah alamat. Kita kena buang perasaan dengki kepada orang lain, Insya-Allah rezeki kita tetap ada,” katanya ketika ditemui sempena Majlis memperkenalkan baju raya kucing di Coo & Riku, Lalaport Kuala Lumpur di sini, semalam.
Dalam pada itu, Anna tidak menolak timbul rasa kecewa dalam dirinya dengan komen negatif netizen. Namun baginya, tidak berbaloi untuk dia melayan manusia bersifat toksik yang hanya tahu mencari kelemahan manusia lain.
“Memang saya terkilan, tapi pada masa yang sama perkara itu telah pun ditentukan, tiada apa yang boleh kita lakukan tentangnya.
“Mereka nak saya buat apa? Pulangkan trofi kemenangan yang saya terima? Bergembiralah untuk orang lain. Rezeki kita semua telah ditentukan oleh-Nya,” jelasnya.
PERJELAS DAKWAAN LARI DARI RUMAH
Dalam pada itu, Anna tampil menafikan dakwaan dia melarikan diri dari rumah gara-gara konflik yang timbul antara dia dan ibunya, tidak lama dahulu.
Kata Anna, dakwaan tersebut sama sekali tidak benar dan tidak berasas.
“Saya tak tahu macam mana cerita ini boleh timbul sedangkan ia tidak pernah berlaku. Saya sibuk penggambaran drama Melur Untuk Firdaus sejak Januari lalu, saya tidak pernah terbaca komen-komen seperti itu.
“Beginilah, bila orang tak puas hati dengan kita, akan keluar banyak fitnah dan cerita tak betul tentang kita. Kalau dakwaan-dakwaan seperti itu ditimbulkan tanpa bukti yang kukuh, saya abaikan sahaja.
“Terus terang saya katakan, saya sibuk dengan kerja. Tak berbaloi untuk saya layan semua fitnah dan cerita palsu sebegini.
“Memang menyedihkan apabila ada orang yang kita tak kenal mengada-adakan cerita pasal kita. Ia tak berfaedah, buat apa saya layan?,” katanya.
Sambung Anna, dia tidak menolak wujud pihak yang sengaja mengada-adakan cerita dengan niat untuk menjatuhkannya.
Namun, katanya, cerita palsu seperti itu tidak sedikitpun menggusarkan malah selayaknya diabaikan sahaja.
“Saya tidak menolak kalau ada pihak yang berbuat demikian dengan niat untuk menjatuhkan saya. Saya anggap itu perkara biasa.
“Saya kena kuat dan terus lakukan apa yang saya suka. Percaya pada Tuhan dan laluinya dengan berlapang dada,” jelasnya.